PULASAN | Sumpahan A yang tak tercairkan
"Aku dulu," kata Atif itu, "siap ada guru kelas cakap tak ada masa depan."
Sudah berpuluh-puluh tahun insiden itu berlalu namun detik Atif - sudah tentulah bukan nama sebenar - menapak ke sekolah untuk mengambil slip keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu masih kuat tertanam dalam fikirannya.
"Aku masa tu diletakkan di kelas tercorot," katanya lagi.
Kata Atif, dia bukan 'budak pandai' dan dia berdamai dengan takdir itu sejak sekian lama dulu.
Pun begitu, Si Atif tidak menyangka kadang-kadang kata-kata seseorang akan membekas jauh ke dalam. Ungkapan guru terbabit tidak lagi diingatinya 100 peratus, tetapi mauduknya seakan malar segar.
"Sampai hari ini aku selalu rasa aku tak pandai. Dan ini salah satu sebab mengapa aku selalu rasa rendah diri dalam semua keadaan, dalam semua usaha yang aku buat."
Atif tidak sengaja menggatalkan jari-jemarinya menulis kisah itu beberapa hari lalu. Dia mengenang kembali detik-detik dia bersekolah itu pada hari lebih 373,900 orang remaja menerima keputusan SPM 2022 masing-masing.
Daripada jumlah itu, dikhabarkan kira-kira 10,100 orang memperoleh keputusan cemerlang. Sudah tentu ia berita yang menggembirakan semua pihak yang terlibat.
Selain pelajar itu sendiri, kebanggaan sudah tentu menjadi milik ibu bapa atau keluarga masing-masing. Selebihnya ialah pada guru dan pihak sekolah yang boleh menarik nafas lega apabila 'beban' membuktikan kecemerlangan terlerai.
Masalah keutamaan
Kemudian datanglah realiti. Tidak semua pelajar mampu mencapai tahap kecemerlangan yang difahami kebanyakan orang, yakni memaparkan gred A berderet-deret pada slip keputusan masing-masing.
Entah dirasuk oleh makhluk halus mana, muncul suasana cemas dalam kalangan sesetengah ibu bapa - sama ada yang sudah menduduki SPM, atau yang bakal melaluinya tahun ini.
Ia menjadi lebih menekan apabila sesetengah pihak begitu ghairah mengejar ranking yang sebenarnya 'menyesatkan' itu. Dan tanpa ada nama sekolah tersenarai, kadang-kadang kagetnya hampir menyamai cemasnya umat manusia menghadapi kiamat.
Entah sampai bila agaknya kita harus berdepan dengan masalah salah keutamaan dalam hidup ini. Ia tidak begitu menjengkelkan jika sesuatu masalah yang lahir daripada sikap tersebut hanya berlegar dalam kalangan kelompok tertentu saja.
Masalah yang sebenar ialah, kesulitan tersebut meliputi hampir semua orang dan sesiapa yang cuba bebas daripada belenggu yang sepatutnya tidak wujud sejak awal itu.
Dengan kebodohan yang kita restu itu, ada ramai pelajar yang tertekan bukan oleh kehendak sendiri. Mereka bergelut dengan nasib malang yang dipaksakan hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak.
Selain ibu bapa sendiri, mereka terhukum oleh kebimbangan pihak sekolah, khususnya yang bertaraf sekolah berasrama penuh atau elit. Untuk berlaku adil kadang-kadang kemahuan pihak sekolah itu pun bukanlah datang sendiri sebaliknya kerana ada tekanan langsung atau tidak langsung dari pihak atasan.
Pejabat pendidikan daerah, misalnya.
Kita harus sedar yang sedang dibangunkan di sekolah-sekolah itu bukanlah suatu barang komoditi, sebaliknya manusia yang memiliki kerencaman yang sangat banyak.
Justeru namanya manusia, anak-anak sekolah itu memiliki hati dan perasaan. Sudahlah zaman awal persekolahannya kita letakkan mereka dalam suatu suasana yang serba mengekang sehingga kadang-kadang hak mereka untuk menjadi kanak-kanak normal dinafikan.
Stigma sesat
Apabila besar pelajar dikepung pula oleh pelbagai harapan yang sesetengahnya disyaki hanya inginkan kepuasan bermegah-megah apabila anak mereka mendapat sebaris gred A dalam peperiksaan.
Dan ilham entah dari mana gamaknya yang mentakrifkan kejayaan seseorang itu mestilah dengan memiliki A.
Ketika ini si Atif tadi gigih meneruskan hidupnya dan mencari rezeki untuk mengisi perut isteri dan anak-anak mereka. Mujur juga si isteri memiliki pekerjaan tetap, maka setidak-tidaknya pada setiap hujung bulan, ada gaji yang masuk ke akaun bank.
Suatu ketika dulu mereka dihantar oleh kerajaan ke Pulau Banggi di Sabah. Mereka menahan sabar dan sedih demi tugas dan tanggungjawab.
Ketika si isteri mengajar, si suami menjaga keluarga dan rumah.
Tanpa A dalam slip keputusan SPM dan dihukum "gagal" sejak awal lagi oleh gurunya, Atif gigih menabur bakti membantu anak-anak terbiar di pulau yang sangat besar itu.
Sudah tentu bukan semua guru sezalim guru Atif itu. Sudah tentu majoriti guru yang ada adalah individu yang jujur, sedar dan faham tentang keperluan mendidik generasi muda menjadi manusia berguna.
Tetapi harus diingat mereka hidup dalam tekanan yang diwujudkan oleh suatu stigma sesat lagi menyesatkan, dan tidak perlu sejak mula.
Di bawah sedar entah berapa juta jiwa yang sudah rungkad oleh kebebalan kita sendiri.
Dalam bahasa Sunda, rungkad bermaksud hancur berkeping-keping, roboh, dan runtuh.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang hampir setiap hujung minggu menghabiskan masanya di kawasan sekolah.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai