ULASAN | Komunis mahu saya kalah tapi saya pula dituduh komunis
Saya berada di Klang semalam bersama dengan para pemimpin DAP Klang dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh veteran DAP, Tee Boon Hock, sempena penganugerahan darjah Tan Sri kepada saya pada minggu lepas.
Kali pertama saya ke Klang adalah 57 tahun lepas untuk menyusun cawangan-cawangan DAP tetapi semua yang hadir dari Klang hari ini belum dilahirkan ketika itu.
Ahli parlimen DAP untuk Klang, Ganabatirau Veraman dilahirkan pada tahun 1973 manakala ahli Dewan Undangan Negeri Banting, Lau Weng San, dilahirkan pada tahun 1979. Kedua-dua Ganabatirau dan Weng San hadir pada majlis ini.
Dalam pilihan raya umum 1969, DAP memenangi tiga kerusi DUN di Klang dan hampir memenangi kerusi parlimen Klang.
Calon Perikatan menang dengan majoriti hanya sebanyak 485 undi.
Rusuhan perkauman 13 Mei 1969 menjadi parut kekal dan peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa alternatif kepada prinsip-prinsip asal pembinaan Malaysia yang majmuk – yang diterapkan tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga perdana menteri terawal yang semuanya juga presiden Umno) ke dalam Perlembagaan – adalah kekecohan, kemunduran, dan sebuah negara yang berpecah belah dan gagal.
Saya dituduh kononnya mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969, tetapi saya tidak pun berada di Kuala Lumpur semasa rusuhan ini terjadi, memandangkan saya ke Kota Kinabalu pada pagi 13 Mei 1969 untuk membantu kempen pilihan raya calon bebas di Sabah.
Saya juga dituduh sebagai seorang komunis. Sedangkan pihak komunis mahu saya untuk kalah dalam pilihan raya umum 1969 tetapi mereka gagal kerana mereka melancarkan kempen memboikot pilihan raya.
Kerana inilah, semasa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) pertama saya di Muar pada tahun 1969, saya menulis kepada perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.
Pada 4 Ogos 1969, saya katakan:
"Keputusan pilihan raya umum 10 Mei adalah halangan bagi Parti Perikatan. Tetapi perkara ini merupakan satu tamparan yang lebih hebat kepada PKM.
“Semasa kempen pilihan raya umum, PKM dan jentera-jentera partinya berkempen supaya rakyat memboikot pilihan raya untuk merendahkan keyakinan kepada demokrasi berparlimen dan mempersiapkan latar belakang politik untuk memulakan pemberontakan bersenjata keduanya.
“10 Mei menunjukkan pilihan rakyat memilih demokrasi, menolak kempen PKM.”
Namun, setengah abad kemudian, saya dituduh komunis – satu tuduhan liar dan tidak masuk akal yang gagal dibuktikan oleh Presiden PAS, Hadi Awang, walaupun selepas dicabar berkali-kali.
Terdapat kuasa-kuasa politik yang bersifat ekstremis dan tidak bertanggungjawab dalam negara yang cuba untuk mempolarisasi hubungan antara kaum dan agama, mewujudkan perpecahan dalam negara yang hanya akan membawa kepada kemerosotan negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah belah dan gagal.
Kerana inilah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada semua rakyat Malaysia untuk mengekalkan kestabilan politik dan mengembalikan semula perpaduan nasional supaya kita dapat menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Kerajaan Perpaduan Anwar telah memberikan rakyat Malaysia satu peluang unik untuk kita tetapkan semula dan kembalikan negara kepada prinsip-prinsip pembinaan negara Malaysi yang majmuk – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan untuk agama-agama lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, sebuah kerajaan yang jujur dan bersih, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, usaha menghentikan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan negara, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, tidak boleh membazirkan peluang ini kerana peluang unik sebegini tidak akan muncul untuk kali kedua.
Pilihan yang ada di hadapan rakyat Malaysia pada hari ini sangat jelas – Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal dan berpecah belah atau Malaysia yang melahirkan juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Bolehkah Malaysia menyumbang kepada keamanan dan keharmonian dunia dengan mengelakkan dari terjadinya pertembungan antara tamadun?
Saya percaya Malaysia boleh, tetapi perkara ini akan bergantung kepada keputusan dari enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
LIM KIT SIANG ialah veteran DAP.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai