Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk Baling rayu Sanusi tolak cadangan buka kuari

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sebelum pilihan raya umum (PRU) 2018, pemimpin pembangkang ketika itu Muhammad Sanusi Md Nor melawat Kampung Che Mas dan Kampung Sungai Limau di Baling, Kedah untuk mendapatkan sokongan penduduk di situ.

Lima tahun kemudian, giliran penduduk kampung cuba mendapatkan sokongan daripada Sanusi - yang kini menteri besar Kedah - bagi menolak cadangan pembukaan kuari di Gunung Baling dan Gunung Pulai.

Pada sidang media semalam, Abdullah Zakaria berkata penduduk kampung telah menghantar 12 surat kepada Sanusi membantah kuari berkenaan, namun tidak mendapat maklum balas.

"Kami mahu menteri besar, yang melawat kampung semasa menjadi ketua pembangkang negeri sebelum PRU 2018 melawat kampung itu semula dan menilai keadaan dan kerelevanan projek kuari itu," kata Abdullah.

Penduduk kampung yang kebanyakannya pesawah dan pemilik kebun buah-buahan mendakwa, jika diluluskan, operasi kuari itu akan menjejaskan kehidupan dan mata pencarian harian mereka.

Abdullah berkata salah satu kebimbangan utama ialah debu daripada kuari yang dicadangkan akan memburukkan lagi masalah sedia ada yang didakwa menjejaskan hasil padi dan buah-buahan di kampung itu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor

“Kini, habuk kuari pada jarak empat kilometer menjejaskan Kampung Che Mas terutama pada musim kemarau.

“Seluruh rumah akan diselaputi habuk kuari. Semua orang akan mengalami masalah bersin dan kerengsaan kulit dan kuari itu wujud sejak empat puluh tahun lalu,” katanya.

Memetik laporan awal Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), kumpulan itu berkata kuari yang dicadangkan di Gunung Pulai terletak hanya 150m dari kawasan perumahan terdekat, manakala kuari Gunung Baling terletak sejauh 990m.

Aktivis alam sekitar Mohd Sobri Ramlee, dari Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Rumput) Kedah berkata jarak kuari Gunung Pulai khususnya tidak mematuhi garis panduan pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar.

Ini kerana garis panduan tersebut memerlukan kuari mempunyai zon penampan sekurang-kurangnya 500m atau tiga kali ganda jarak ketinggian tebing batu kapur yang digali dari kawasan perumahan terdekat.

Selain potensi kesan kepada kesihatan dan pertanian, penduduk Kampung Sungai Limau, Kamaruddin Zakaria, 57, berkata projek yang dicadangkan itu juga boleh menjejaskan industri pelancongan tempatan.

“Gunung Baling juga merupakan tempat pelancongan yang popular di kalangan pendaki kerana orang dari negeri lain sejauh Selangor dan Johor datang ke sini untuk mendaki dan ramai belia di sini bekerja sebagai pemandu arah,” katanya.

Lindungi kawasan tadahan

Sementara itu, penduduk Kampung Che Mas Yusof Abdullah, 70, menggesa kerajaan negeri melindungi kawasan tadahan bagi memastikan sumber air dan mengelakkan banjir pada masa hadapan.

“Kami mahu habitat yang kita ada hari ini dikekalkan. Kuari yang dicadangkan akan menjejaskan mata pencarian penduduk setempat kerana ia juga menimbulkan kesusahan, kesukaran serta memusnahkan alam sekitar,” tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Alam Sekitar negeri untuk mengulas sama ada EIA bagi projek itu telah diluluskan.

Sementara itu, Mohd Sobri berkata mengikut Rancangan Tempatan Baling 2020 yang diwartakan pada 2011, tapak kuari yang dicadangkan pada asalnya ditetapkan sebagai zon hutan.

Justeru, dia mempersoalkan bagaimana Jabatan Kemajuan Bandar dan Luar Bandar negeri boleh menukar tapak cadangan itu kepada zon kuari.

“Mengikut Subseksyen 16(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, jabatan negeri tidak boleh menukar zon hutan kepada zon kuari,” katanya.

Mengambil kira lebih lanjut mengenai kepentingan memelihara Gunung Baling dan Gunung Pulai, Mohd berkata kedua-dua tapak itu adalah penting dari segi ekologi.

Dia menyorot bagaimana tinjauan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) pada 2019 mendapati spesies flora unik dikenali sebagai Sohmaea Teres hanya ditemui di kawasan banjaran Gunung Baling dan Gunung Pulai.

Mohd menambah, tapak tersebut juga mempunyai nilai sejarah yang penting.

“Sejarawan, Jabatan Warisan Negara, dan pakar arkeologi berkata kedua-dua gunung itu mempunyai nilai yang tinggi dalam sejarah dan arkeologi kerana manusia telah tinggal di gunung itu seawal 16,000 hingga 17,000 tahun lalu,” katanya.