Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ulat jual orang' - Perhambaan moden masih berleluasa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

EKSKLUSIF | Pekerja asing 'dijual beli' secara terbuka melalui skim pemerdagangan manusia yang menguntungkan, dengan mengaut komisen berterusan daripada keringat dan jerih payah pekerja yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki.

Penelitian Malaysiakini mendapati terdapat pelbagai lapisan ejen haram pekerjaan yang bukan sahaja mengenakan bayaran kepada bakal majikan untuk mendapatkan pekerja, bahkan mereka juga mengambil komisen daripada gaji setiap jam pekerja itu.

Ini mengakibatkan pekerja berkenaan cuma memperolehi sejumlah kecil pendapatan pada akhir bulan. Skim itu juga menjadikan pekerja terperangkap oleh ejen haram yang mengutip gaji bagi pihak mereka dan memegang pasport mereka.

Menyamar sebagai bakal majikan, wartawan Malaysiakini ditawarkan pekerja dengan bayaran sekali sahaja sebanyak RM1,700 setiap kepala, tidak termasuk yuran pengurusan dan dokumentasi.

Petikan tangkap layar WhatsApp antara ejen pekerjaan tidak berdaftar dan wartawan Malaysiakini yang menyamar sebagai bakal majikan.

Berdasarkan sebut harga, kos akhir termasuk yuran pengurusan, pemeriksaan perubatan, bayaran levi, insurans dan visa ialah RM2,800 setiap orang pada setiap bulan.

Daripada jumlah ini, RM1,500 menjadi gaji pekerja manakala baki RM1,300 pula diambil oleh ejen pekerjaan yang berkenaan.

“Kami mempunyai 200 pekerja yang sudah berada di Malaysia dan bersedia untuk bekerja. Semua warga Bangladesh,” kata seorang warga Malaysia yang bertindak sebagai ejen tanpa lesen itu.

Sebut harga ejen yang berpangkalan di Selangor itu bagi "pakej standard tidak boleh dirunding" untuk menyediakan 45 buruh pembersihan, bekerja 12 jam sehari selama 26 hari sebulan, tidak termasuk kerja lebih masa.

Dalam kes lain, seorang ejen haram di Johor Bahru menawarkan kepada seorang majikan untuk mengambil dua pekerja hanya dengan kos RM5,000.

Ejen pekerjaan tanpa lesen digelar sebagai 'ulat jual orang' dalam artikel ini kerana mengikut undang-undang mereka dilihat terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia.

Pemasaran kepada bakal majikan

Amalan pemasaran ini didapati berleluasa dan 'kebal' tindakan undang-undang. Ejen haram secara terbuka mempromosikan tawaran kepada bakal majikan, yang sering terdesak untuk mengisi kekurangan bekalan tenaga kerja buruh.

Walaupun perniagaan mereka gelap, 'ulat jual orang' ini menuntut butiran pendaftaran syarikat bakal majikan untuk menjalankan "pemeriksaan latar belakang" sebelum sebut harga dikeluarkan.

Mereka juga menggunakan taktik supaya majikan dalam keadaan tergesa-gesa bersetuju dengan perjanjian itu.

Ejen haram ini menyatakan bahawa pekerja "kini bersedia" atau "sudah sampai" menunjukkan majikan boleh melangkau proses birokrasi permohonan pekerja asing yang melibatkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri.

Petikan tangkap layar WhatsApp antara ejen pekerjaan tidak berdaftar dan wartawan Malaysiakini yang menyamar sebagai bakal majikan.

Mereka mengelak daripada memberikan banyak butiran dengan rekod secara hitam dan putih, sebaliknya mereka akan mendedahkan perincian lanjut apabila bertemu bakal majikan.

Perbualan dengan seorang ejen haram

Dalam satu kes, Malaysiakini berjaya mendapatkan sebut harga melalui WhatsApp selepas beberapa minggu komunikasi, tetapi ia disediakan pada dokumen tanpa kepala surat (gambar, bawah).

Apabila ditanya, 'ulat' itu berkata dia akan memberikan sebut harga dengan kepala surat syarikat, selepas bertemu secara peribadi dan memuktamadkan kontrak itu. Pun begitu, Malaysiakini tidak menyelesaikan kontrak tersebut.

Ejen pekerjaan itu juga memberikan nama dua syarikat, yang akan membekalkan pekerja berkenaan.

Bagaimanapun, semakan ke atas pelbagai alamat syarikat itu, yang disediakan oleh ejen tersebut mendapati sama ada ia merupakan unit pejabat yang tidak jelas dan tidak berpenghuni atau dalam satu contoh lain, sebuah rumah urut.

(Klip rakaman audio perbualan telefon antara wartawan Malaysiakini dan ‘ulat’ tersebut)

Salah satu syarikat yang dinamakan oleh ejen berkenaan tidak wujud dalam pendaftaran Suruhanjaya Syarikat manakala sebuah lagi syarikat secara terbuka mengiklankan dirinya sebagai agensi tenaga manusia tetapi didaftarkan sebagai firma perdagangan penyelenggaraan dan tekstil.

Walaupun tanpa lesen membekal tenaga kerja, risalah syarikat itu menyatakan ia menawarkan "penyumberan luar pekerja ke hotel" di Genting Highlands, Lembah Klang dan Johor Bahru, dan telah "membekal dan melatih lebih daripada 2,000 pekerja untuk pelbagai sektor."

Syarikat itu, yang mempunyai modal berbayar RM1 juta, dimiliki oleh seorang “Datuk” dan dua warga asing. Syarikat itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan.

Syarikat ini–yang mempunyai modal berbayar RM1 juta–70 peratus sahamnya dimiliki oleh seorang "Datuk" dan dua warganegara asing, yang memiliki pegangan 30 peratus.

Datuk itu memberitahu wartawan Malaysiakini yang menyamar bahawa pekerja yang dibekalkan adalah sah melalui lesen agensi pekerjaan lain, yang juga miliknya.

Dia juga mempertikai beberapa perkara dalam sebut harga yang diberikan oleh pihak yang memperdagangkan manusia.

Semakan mendapati bahawa agensi yang dikatakan berlesen ini tidak terdapat dalam senarai agensi berlesen Kementerian Sumber Manusia.

Majikan terdesak sanggup bayar

Tawaran daripada 'ulat' sebanyak RM2,800 sebulan bagi setiap pekerja adalah terlalu tinggi, berbanding pengambilan melalui agensi buruh berlesen.

Daripada caj bulanan, agensi berlesen mengenakan yuran sekali sahaja sebanyak RM2,360 untuk dokumentasi, pemeriksaan perubatan dan keperluan lain dan bayaran perkhidmatan tambahan RM1,500 untuk menguruskan proses pengambilan.

Yuran perkhidmatan hanya RM1,500 kerana dari segi undang-undang, mereka boleh mengenakan bayaran tidak lebih daripada gaji bulanan pekerja untuk perkhidmatan one-off mereka.

Oleh itu, jumlah bayaran sekali sahaja yang dikenakan oleh agensi buruh berlesen ialah RM3,860 bagi setiap pekerja, yang visanya lazimnya sah selama setahun.

Sebagai perbandingan, mengikut sebut harga 'ulat jual orang' ini, majikan akhirnya membayar RM15,600 bagi setiap pekerja setahun - untuk bayaran kepada ejen sahaja.

Ini mencapai kira-kira RM500,000, untuk pengambilan 45 pekerja, mengikut sebut harga berkenaan.

Walaupun begitu, majikan sanggup membayar jumlah yang besar ini kepada ejen haram tersebut untuk memintas birokrasi dan menunggu lama untuk mendapatkan bekalan pekerja asing, kata sumber industri.

Komisen dari setiap jam gaji pekerja

Bagi pekerja, harga untuk mendapatkan pekerjaan itu menjadikan dirinya terbelenggu dengan hutang.

“Anda menggunakan mereka, tetapi mereka adalah pekerja saya.

"Saya memegang pasport mereka. Anda menyediakan penginapan dan pengangkutan ke tempat kerja,” kata ulat itu, yang tidak didedahkan identitinya oleh Malaysiakini atas sebab undang-undang.

Katanya, sekiranya majikan tidak dapat menyediakan penginapan dan pengangkutan, ejen boleh berbuat demikian dengan bayaran tambahan.

Sumber dalam industri memberitahu Malaysiakini bahawa pihak yang memperkenalkan bakal majikan kepada ejen berkenaan turut meraih hasil daripada potongan gaji bulanan pekerja, jika kontrak itu berjaya.

Lazimnya, terdapat tiga peringkat kepada skim itu - pihak yang memperkenal ejen kepada majikan, ejen dan ketua ejen, kata sumber.

Pihak yang memperkenalkan ejen kepada majikan, di peringkat paling bawah piramid, biasanya mendapat skim komisen 50 sen untuk setiap jam pekerja dibayar.

Ejen di peringkat pertengahan pula mendapat RM1 untuk upah sejam pekerja manakala kepala 'ulat jual orang' di bahagian atas skim piramid ini mengaut RM1.50 daripada gaji setiap jam pekerja.

Dengan mengandaikan 12 jam hari bekerja, dan 26 hari bekerja sebulan, ketiga-tiga pihak ini berkongsi komisen sebanyak RM936 yang diperas daripada gaji bulanan RM1,500 bagi setiap pekerja asing.

Bagi 45 pekerja, mengikut sebut harga yang diperoleh Malaysiakini, ejen peringkat pertengahan meraih komisen RM14,040 sebulan manakala ketua ejen haram itu pula mengaut RM21,060 sebulan.

Mangsa dari dalam dan luar negara

Komisen atas gaji mereka bukan satu-satunya cara pekerja mengalami kerugian.

NGO hak migran berkata pekerja juga menjadi mangsa kepada rancangan yang tersusun rapi oleh agensi haram yang bekerjasama dengan rakan sejawatan mereka di negara asing.

Agensi-agensi tidak berdaftar ini memikat pekerja dengan janji untuk memperoleh pendapatan yang besar yang boleh mengeluarkan mereka dan keluarga mereka daripada kemiskinan.

Pengarah eksekutif NGO hak migran, Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira (gambar, atas) berkata pekerja membayar yuran pendahuluan sebanyak RM20,000 seorang, kepada ejen yang berjanji untuk mencari mereka pekerjaan di Malaysia.

Walaupun sebahagian daripada jumlah ini membayar kos perjalanan mereka, sebahagian besar lagi wang itu pula dibahagi-bahagikan antara banyak lapisan ejen pengambilan pekerja.

“Ada orang tempatan dan ada juga warga asing, itulah realitinya. Ikatan hutang pekerja asing akan menyebabkan mereka menjadi buruh paksa oleh majikan tanpa belas kasihan,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Imigresen dan Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan maklum balas lanjut.


BAHAGIAN 2 ESOK: 'Ulat' tawar jual pekerja asing pada agensi berlesen