'RM42 juta kecil' - Zaid minta Anwar bebaskan Najib
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak "demi rakyat".
Katanya, jumlah RM42 juta, iaitu nilai dalam kes rasuah SRC International yang Najib disabit bersalah, hanyalah perkara kecil, berbanding kes lain dalam negara.
"Ke hadapan perdana menteri, anda perlu ubah fikiran tentang Najib - demi rakyat. Biarkan dia bebas.
"Dalam pilihan raya negeri akan datang ini, (kerajaan) Madani perlu menang; anda perlu jadi perdana menteri untuk beberapa tahun lagi," ciap Zaid hari ini.
Zaid berkata Umno kini dalam keadaan lemah dan hanya Najib yang mampu membantu parti itu menang dalam PRN yang akan diadakan di enam negeri nanti.
"Sudah tentu, dia sudah didapati bersalah, tetapi dalam 'scheme of things', RM42 juta adalah 'small change'.
"Lagipun, mulai sekarang, rasuah adalah perkara yang sudah berlalu di bawah kepimpinan anda yang tegas dan bersih. Tiada siapa boleh kata anda berlembut dengan rasuah jika mengampuni Najib," katanya lagi.
Zaid kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa dia hanya menyatakan RM42 juta dalam kes bekas perdana menteri itu adalah "lebih kecil" berbanding kes-kes rasuah lain yang melibatkan ratusan juta atau malah berbilion ringgit.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berikutan tuduhan rasuah terhadapnya dalam kes SRC International berjumlah RM42 juta.
Umno sebelum ini telah membuat permohonan agar bekas perdana menteri itu diberi pengampunan diraja.
Anwar yang turut menganggotai Lembaga Pengampunan telah menjelaskan setiap individu yang disabitkan bersalah ada hak untuk mendapatkan pembebasan dengan memfailkan permohonan dengan lembaga itu.
Bagaimanapun, dia berkata pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai