Skip to main
Logo Malaysiakini

MP sokong S'wak diberi autonomi selesai isu anak tanpa kerakyatan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Seorang ahli Parlimen Sarawak ketika membahaskan laporan Suhakam hari ini menyokong gesaan agar negeri itu diberi autonomi untuk menyelesaikan isu penduduk tanpa status kewarganegaraan, terutama di kalangan kanak-kanak.

Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) berkata isu tersebut, yang juga dimasukkan dalam laporan tahunan Suhakam pada 2020, telah melangkaui banyak generasi penduduk di pedalaman Sarawak - termasuk ekoran perkahwinan dengan etnik Dayak di Kalimantan, Indonesia.

Katanya, banyak perkahwinan itu hanya dirasmikan oleh tuai atau ketua rumah panjang dengan penduduk rumah sebagai saksi, tanpa pendaftaran rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ia menyebabkan anak-anak pasangan tersebut tidak memiliki status warganegara walau lahir di Sarawak, katanya lagi.

"Jadi saya setuju dengan cadangan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat Sarawak Fatimah Abdullah agar Sarawak diberi kuasa khas untuk selesaikan isu kewarganegaraan kanak-kanak.

"Sekarang ia masih perlu kelulusan kerajaan persekutuan.

"Ini amat penting agar status (kewarganegaraan) kanak-kanak luar bandar dapat diselesaikan lebih cepat," katanya sambil menyatakan kanak-kanak tersebut dinafikan akses kepada hak asasi seperti pendidikan dan kesihatan.

Fatimah Abdullah

Pada Mac lalu, Fatimah dilaporkan menyuarakan cadangan agar Sarawak diberikan autonomi tersebut.

Dalam ucapan penggulungannya, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan menerusi libat urus dengan pihak-pihak terlibat dalam peringkat terakhir untuk menyediakan cadangan meminda sejumlah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menangani masalah itu.

Katanya, ada lapan cadangan yang akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu bulan lalu, dengan pindaan disasarkan akan dibentang ketika sesi terakhir Dewan Rakyat tahun ini.