Kerajaan sudah nyah klasifikasi laporan AES, LCS
Kerajaan menyah klisifikasi laporan siasatan jawatankuasa yang meneliti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan perolehan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mas Ermiyati Samsudin, berkata laporan berkenaan dinyahklasifikasikan oleh Jabatan Perdana Menteri.
Katanya dua daripada tiga laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) ialah mengenai AES yang dibuat pada 8 Jul 2022, selain perolehan LCS pada 17 Ogos 2022.
Bagaimanapun laporan siasatan mengenai pertukaran tanah (land swap) membabitkan Kementerian Pertahanan masih tertakluk kepada rahsia rasmi.
"Memandangkan JKSTUPKK telah dibubarkan, saya telah menulis sepucuk surat kepada Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) untuk menyah klasifikasi laporan berkenaan supaya PAC dapat melihat semula perkara ini," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu Mas Ermiyati memaklumkan PAC memanggil tiga kementerian berhubung Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 siri dua untuk mendapatkan penjelasan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah dipanggil pada 14 Jun bagi isu kelemahan dalam penerimaan dana berbentuk kewangan dan aset, serta bayaran tidak teratur Skim Subsidi Harga Padi.
"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada 15 Jun (hari ini) bagi isu sejumlah 1.1 juta dos vaksin telah luput tempoh jangka hayat setakat 30 April 2022.
"Kementerian Kesihatan juga dipanggil pada 15 Jun bagi isu 93 unit ventilator tidak dapat digunakan daripada 36 unit ventilator diperoleh serta nisbah penggunaan boot cover dan protective suit/coverall berbanding baki stok adalah sebanyak 2.2 peratus dan 3.1 peratus dengan baki masing-masing sebanyak 3.08 juta dan 0.84 juta pasang," katanya.
Bagaimanapun buat masa ini Mas Ermiyati memaklumkan PAC sudah mendengar penjelasan daripada dua kementerian iaitu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Kesihatan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai