Skip to main
Logo Malaysiakini

Seragam jururawat terlalu ketat, tak patuh syariah, kata wakil PN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN l Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwanya terlalu ketat dan tidak mematuhi syariah

Berucap semasa membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, hari ini, katanya, ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Sehubungan itu, Wan Razali menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai.

"Kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan, di mana ia tidak patuh syariah.

"Adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan Barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelonggaran?" soal Wan Razali.

Dia seterusnya memetik contoh di dua hospital di Kelantan dan Pahang yang mengambil inisiatif memberi pilihan kepada kakitangan wanitanya mengenakan pakaian yang lebih sesuai.

"Contohnya Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.

"Tahniah diucapkan kepada kedua-dua hospital yang memberi pilihan etika pakaian lebih baik kepada pekerja," katanya.

Cadangannya itu turut disokong oleh Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh).

“Akhirnya Temerloh menyokong suara daripada Kuantan mengenai etika berpakaian yang patuh syariah terutamanya kepada petugas-petugas hospital, yang berucap di Dewan Rakyat kemudian,” katanya.