Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes gaduh depan pasar raya: 9 lelaki diheret ke mahkamah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sembilan lelaki yang videonya tular di media sosial kerana bergaduh di hadapan sebuah pasar raya, Ahad lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Maran hari ini.

Tujuh daripada mereka didakwa atas kesalahan berada dalam rusuhan di hadapan pasar raya tersebut di Sri Jaya, pada satu tengah hari pada 11 Jun, manakala dua lagi didakwa atas pertuduhan berada di dalam rusuhan dan memiliki parang di tempat dan masa yang sama.

Tujuh tertuduh Chai Soon Nian, 47; T. Kumaran, 44; K. Ravi, 23; T. Raghu, 40; T. S. Ramesh, 38; T. Suresh, 30, dan Ling Sin Tun, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan majistret Nur Syafiqah Noorinda.

Pertuduhan ke atas tujuh individu itu dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dua lagi tertuduh Tan Weng Kok, 59, dan Tan Chien Ann, 27, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 148 KK, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izani Nashtasya Isa manakala peguam M Varunchelvam mewakili kesemua tertuduh.

Mahkamah membenarkan kesemua tujuh tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan RM6,000 bagi dua tertuduh, masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman mengesahkan sembilan lelaki ditahan kerana terlibat dalam pergaduhan di Sri Jaya di Maran, yang dipercayai berpunca akibat salah faham akibat meletak motosikal.

-Bernama