Skip to main
Logo Malaysiakini

Unsur nadir bumi di M'sia bernilai lebih RM809 bilion - menteri

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Malaysia mempunyai kira-kira 16.1 juta tan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai kira-kira RM809.6 bilion, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menunjukkan galian tersebut kebanyakannya terletak di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor, dan Terengganu.

Nik Nazmi berkata data itu menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi pengeksport NR-REE, selagi pengekstrakannya dikawal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian.

"SOP ini merangkumi semua perundangan yang sedang berkuat kuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral Negeri, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Gambar fail, perlombongan nadir bumi di Hulu Perak.

"Selain pematuhan SOP, sebarang perlombongan NR-REE juga tertakluk kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh JMG.

"Setakat ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berpendirian tidak menyokong dan tidak meluluskan sebarang aktiviti perlombongan termasuk NR-REE jika dijalankan di kawasan hutan simpan kekal (HSK), rizab perlindungan dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS)," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Menteri itu berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan daripada Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang meminta senarai negeri yang mempunyai NR-REE dan nilainya, di parlimen baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata kementeriannya juga telah mengenal pasti kaedah larut lesap 'in-situ' yang lebih mesra alam dengan pembersihan tanah yang minimum untuk melombong mineral dari tanah.

Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid.

Kaedah ini, kata Nik Nazmi kurang memberi kesan kepada alam sekitar berbanding kaedah perlombongan terbuka yang digunakan pada masa ini, yang melibatkan penebangan hutan.