Skip to main
Logo Malaysiakini

Perkahwinan kanak-kanak: K'jaan digesa libat urus bersama agamawan - Muda

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penggubal dasar digesa untuk mendapatkan lebih ramai golongan agamawan yang menyokong usaha penamatan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata ilmuan agama dan ulama Islam mempunyai pengetahuan untuk menawarkan naratif balas terhadap pihak yang cuba menegakkan amalan itu atas nama agama.

Jelasnya, hal ini memandangkan hujahan yang dibuat berdasarkan nas atau ketetapan agama, terutamanya di kalangan umat Islam.

Antara lain, Adun Puteri Wangsa itu memetik alasan yang sering diulang-ulang bahawa perkahwinan pasangan belia Islam bawah umur adalah lebih baik daripada risiko terlibat dalam hubungan seks sebelum perkahwinan.

“Saya dapat melihat dari mana ia (hujah itu) datang kerana lebih baik melakukan hubungan seks dalam konteks perkahwinan daripada zina (istilah Islam untuk seks sebelum perkahwinan).

“Di sinilah saya juga fikir penting bagi kita (pembuat dasar) untuk mempunyai sekutu dalam sektor agama. Ada (sudah) sekutu (begitu) tetapi kita perlu biarkan mereka bersuara lebih banyak,” katanya.

“Tetapi mereka (sekutu) bimbang akan ada orang yang akan memburukkan mereka kerana pemikiran seperti ini,” kata Amira (atas) semasa majlis dialog “Wanita Berkuasa - Perkahwinan Kanak-Kanak Tamat” di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir pada majlis itu, wakil NGO Voice of Children Norliza Khan, wakil Yayasan Dignity for Children Tanusha Ramanieswaran dan pengarah eksekutif Sisters in Islam (SIS) Rozana Isa.

Amira menegaskan bahawa lebih ramai wanita Islam telah menggunakan pemahaman mereka sendiri mengenai agama untuk bersuara menentang perkahwinan kanak-kanak di Malaysia tetapi pandangan mereka sering ditolak kerana "kebanyakan lelaki hanya mendengar (pendapat) lelaki lain".

Oleh itu, katanya, terdapat keperluan untuk meningkatkan penyertaan kaum lelaki dalam memerangi isu berkenaan.

Di bawah undang-undang Malaysia, perkahwinan bawah umur bagi bukan Islam dikawal oleh undang-undang perkahwinan sivil manakala perkahwinan bawah umur bagi orang Islam dikawal oleh undang-undang keluarga Islam di mahkamah Syariah.

Di bawah sistem dwi perundangan ini, umur minimum perkahwinan bagi lelaki Islam ialah 18 dan 16 bagi wanita; bagi lelaki dan wanita bukan Islam, umur minimum ialah 18 tahun.

Perlembagaan Persekutuan memberi setiap negeri kuasa untuk melaksanakan dan mengubah bahagian undang-undang tertentu mengikut keperluan mereka.

Perundangan keluarga Islam membenarkan perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun dengan mendapatkan kebenaran daripada ketua menteri/ menteri besar atau hakim mahkamah Syariah.

'Menggubal semula pelan strategik 5 tahun'

Melangkah ke hadapan, Amira menggesa kerajaan menggubal semula Pelan Strategik Nasional 5 tahun untuk Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur - yang pertama kali dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

“Sudah ada pelan tindakan sedia ada [...] Kini satu-satunya perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan ini hanyalah mengumumkan komitmennya terhadap rancangan lima tahun sedia ada.

"Menteri-menteri (yang) terlibat semasa pelan tindakan (semasa ia mula-mula ditubuhkan) berada dalam kerajaan sekarang," tegasnya.

Pada 2020, Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menjadi timbalan perdana menteri melancarkan rancangan untuk menangani punca perkahwinan kanak-kanak dalam tempoh lima tahun.

Rancangan Negara mengenal pasti enam faktor risiko perkahwinan kanak-kanak - kemiskinan, penerimaan sosial terhadap perkahwinan kanak-kanak, kekurangan akses kepada pendidikan, undang-undang yang membenarkan perkahwinan di bawah umur 18 tahun, kekurangan status undang-undang dan hak untuk kanak-kanak tanpa dokumen, serta kekurangan akses kepada perkhidmatan seksual dan reproduktif.

Di bawah pentadbiran sekarang, Amira berkata adalah penting bagi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri (gambar, bawah) untuk proaktif dalam menangani perkahwinan kanak-kanak kerana dia berasal dari Sarawak.

“Saya tidak mengatakan ia satu perkara yang mudah untuk dilakukan tetapi bagi Nancy, adalah lebih penting baginya untuk bersuara.

“Sarawak mencatatkan satu daripada jumlah perkahwinan kanak-kanak tertinggi setiap tahun bagi kedua-dua (kanak-kanak) Islam dan bukan Islam,” tambahnya.

Pada April tahun lepas, Menteri Wanita, Pembangunan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak Fatimah Abdullah dilaporkan berkata sebanyak 1,638 individu bawah umur telah berkahwin di Sarawak dari 2017 hingga 2020, dengan 500 daripada mereka direkodkan berkahwin mengikut undang-undang Syariah.

Manakala 1,138 individu direkodkan berkahwin mengikut undang-undang adat.

[Baca berita asal]