Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan digesa pergiat usaha lindungi rakyat M'sia mangsa scam pekerjaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MCA menggesa Putrajaya menambah baik usaha menangani pemerdagangan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan (job scam) di luar negara.

Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa MCA Neow Choo Seong (gambar, judul) berkata masih ramai rakyat Malaysia yang terjerat dalam penipuan sedemikian.

"Sejak 2021, MCA telah menerima lebih banyak laporan atau aduan daripada orang ramai, meminta bantuan untuk menyelamatkan mangsa penipuan pekerjaan di luar negara. Kami menyaksikan ramai mangsa yang kehilangan wang mereka kepada sindiket ini dan nyawa mereka juga terancam.

"MCA berharap kerajaan dapat melakukan usaha untuk menangani isu ini.

Gambar fail, mangsa job scam dibawa pulang.

“Bagi memastikan rakyat kita selamat, MCA bersedia membantu kerajaan dalam menangani isu pemerdagangan manusia, termasuk sindiket penipuan pekerjaan di luar negara yang membimbangkan," katanya.

Pada tahun ini, Malaysia dinaik taraf ke dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2, iaitu negara yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS untuk memerangi pemerdagangan manusia tetapi sedang melakukan usaha yang ketara.

Ini peningkatan daripada kategori Tahap 3 terendah pada 2021 dan 2022.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia telah terpikat tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan ke Myanmar dan Kemboja.

Gambar fail, keluarga sambut kepulangan mangsa job scam yang diselamatkan.

Walau bagaimanapun, ini biasanya tipu muslihat oleh sindiket untuk merekrut buruh paksa untuk menjalankan penipuan telefon dan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari seluruh dunia.

Beberapa parti politik telah bekerjasama dengan kumpulan lain untuk membantu memastikan pembebasan rakyat Malaysia ini.

Neow berkata amat penting bagi Malaysia untuk meningkatkan usaha dalam memerangi pemerdagangan manusia memandangkan kemajuan yang dicapai terhadap kedudukan Malaysia yang bertambah baik dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang edisi 2023.

"MCA mengucapkan tahniah kepada menteri dalam negeri, polis, jabatan imigresen dan agensi berkaitan lain atas perkembangan terkini.

"Kita mesti memberi pujian di mana penghargaan itu patut kita sampaikan," katanya.