Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr Zaliha: Pakaian jururawat tiada masalah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seragam jururawat di Malaysia mematuhi etika pemakaian penjawat awam, tidak ketat dan mematuhi syariah, jelas Menteri Kesihatan dr Zaliha Mustafa.

"Kalau tengok pakaian jururawat sekarang memang ada etika, bagi saya tiada masalah," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Menteri kesihatan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor di Dewan Rakyat mengenai pakaian "ketat" jururawat Malaysia.

Menurut Wan Razali, pakaian seragam itu menampakkan bentuk badan wanita dan tidak patuh syariah.

Pun begitu, Zaliha berkata Kementerian Kesihatan lebih mengutamakan soal mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai.

"Sebaliknya yang paling penting sekarang adalah kerajaan telah meluluskan pembentangan Kertas Putih Kesihatan.

“Itu lebih utama kerana ia membincangkan tentang penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, adalah penting untuk mereka faham bahawa kesihatan rakyat menjadi tumpuan kerajaan Persekutuan ketika ini,” katanya.

Beberapa kumpulan profesional telah mengkritik kenyataan Wan Razali. Antaranya Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang berkata pakaian seragam itu bertujuan untuk keselesaan dan fungsi.

Kenyataan Wan Razali turut mendapat maklum balas penyanyi terkenal Baby Shima yang menyindir ahli parlimen itu.