Skip to main
Logo Malaysiakini

Rundingan kerusi PH, BN: Hanya 9 DUN belum muktamad - Asyraf

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rundingan agihan kerusi antara PH dan BN bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hampir selesai dan hanya sembilan kawasan DUN belum dimuktamad.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi telahpun selesai di peringkat Jawatankuasa Perundingan BN-PH.

Dia berkata perkembangan terkini itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak kononnya kerajaan perpaduan tidak stabil.

“Kini kita masuk di peringkat akhir iaitu untuk dimuktamad di peringkat presiden-presiden. Daripada 245 kerusi DUN yang akan dipertanding, kita hanya ada isu sembilan (kerusi DUN) yang masih bertindih.

“Maknanya, kalau kita tengok dari segi peratusan, 99.7 peratus soal kerusi ini telah selesai dan boleh dikatakan (rundingan) berjalan dalam (suasana) cukup harmoni sekali,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra di Karnival Institusi Pendidikan MARA Negeri Johor di Plaza Larkin di Johor Bahru, hari ini.

Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi, yang juga ketua sekretariat kerajaan perpaduan, berkata justeru baki sembilan kerusi DUN yang masih bertindih akan dimuktamad oleh kepimpinan tertinggi parti terbabit.

“(Berhubung) kerusi-kerusi yang bertindih ini, kita serahkan kepada kepimpinan tertinggi iaitu presiden-presiden parti untuk diperinci dan secara umumnya, itulah (perkembangan) sekarang,” katanya.

Ketika ditanya lokasi kerusi terbabit, dia berkata ia melibatkan kesemua enam negeri yang bakal mengadakan PRN.

Katanya rundingan di peringkat presiden dijangka dimuktamad sebelum proses penamaan calon.

Asyraf Wajdi berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini rundingan kerusi BN dan PH menjelang PRN di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan serta Terengganu.

-Bernama