Skip to main
Logo Malaysiakini

LHDN pertahan tindakan 'periksa' rumah Hamzah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini mempertahankan langkahnya "memeriksa" kediaman ketua pembangkang Hamzah Zainudin beberapa hari lalu.

LHDN berkata tindakan menggeledah kediaman pembayar cukai sememangnya kegiatan penguatkuasaan yang dilakukannya dalam kes siasatan cukai dan ia dilaksanakan tanpa menyasarkan mana-mana pihak.

"Tindakan (memeriksa kediaman) itu juga suatu bentuk perkhidmatan kepada rakyat yang menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan konsisten.

"Pemeriksaan tidak menyasarkan kumpulan tertentu, sebaliknya dilaksanakan kepada semua pembayar cukai yang disiasat berkaitan kes percukaian.

"Komitmen kami tetap sama, kami akan melaksanakan tugas kami mengikut perundangan percukaian yang berkuat kuasa," kata LHDN seperti dilaporkan Berita Harian.

"Penguatkuasaan dijalankan tanpa rasa takut dan pilih kasih. Malah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan LHDN perlu kekal bebas daripada sebarang pengaruh," kata badan itu lagi.

Dalam pemeriksaan yang dibuat pada 14 Jun itu LHDN dilaporkan merampas beberapa fail, termasuk dokumen pemilikan aset Hamzah.

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika ditemui media di Pulau Pinang berkata dia percaya tindakan LHDN itu bermotifkan politik kerana berpandangan tiada sebab untuk agensi berkenaan bertindak demikian.

Muhyiddin mendakwa tindakan itu dilakukan tanpa sebab dan ia tertumpu kepada Bersatu dan PAS.

"Seperti dalam kes saya juga, semuanya bermotifkan politik," kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Bagaimanapun, Hamzah mempersoalkan istilah "serbu" yang digunakan dalam beberapa laporan berkenaan perkara itu.

“Serbu itu bagaimana maksudnya. Saya nak maklumkan sudah banyak fitnah dilakukan terhadap saya, saya tak mahu menjawab fitnah dan berita yang tersebar luas ini.

“Hari ini, saya dah ada maklumat contoh fitnah yang dibuat terhadap saya dulu saya dah bawa polis report. Tapi tak apalah kita pegang dulu sampai masa kita akan gunakan,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.