Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit Siang: Lau mahu rakyat PP bela babi atau lembu?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Veteran DAP Lim Kit Siang membangkitkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 2020 terhadap Presiden Gerakan, Dominic Lau selepas Perikatan Nasional (PN) mendakwa mampu menawan Pulau Pinang.

“Adakah dia mahu rakyat Pulau Pinang untuk memilih antara menjadi penternak khinzir atau menjadi penternak lembu, dan sama ada dia bersedia untuk memberitahu Presiden PAS, Hadi Awang, secara terbuka yang dia salah. 

“Bolehkah PN dan Gerakan menjawab soalan-soalan ini?” soalnya ketika membangkitkan kemungkinan Lau menjadi calon ketua menteri PN.

Hadi pada 25 Januari 2020 mengingatkan orang Melayu sama ada mahu menjadi "pengembala lembu" bawah pemerintahan orang Melayu-Islam ataupun "penggembala babi" bawah pentadbiran pihak lain.

Hadi tidak menjelaskan "pihak lain" yang dimaksudkannya.

Dengan mengambil contoh kejatuhan kuasa Islam di Sepanyol pada masa lampau, Hadi berkata penting buat umat Islam untuk memahami sistem politik.

"Kalau kita sabar sesama kita, kalau zalim pun (pemerintahan) hanya jadi pengembala lembu, kalau orang lain memerintah jadi pengembala babi.

"Nak lawan sangat, nak jadi pengembala babi atau pengembala lembu? Mesti faham, ini politik," katanya ketika berucap pada ceramah perdana Muafakat Nasional peringkat negeri Perak di Bagan Datuk, Perak.

Sementara itu, Lim pada kenyataan hari ini menyoal sama ada Lau akan memainkan peranan penting dalam kempen PN Pulau Pinang atau dia hanya akur pada arahan pemimpin PAS dan Bersatu.

Lim juga bertanya sekiranya pengumuman Lau telah mendapat persetujuan Gerakan Pulau Pinang dan pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong untuk menjadi calon ketua menteri PN.

Pada Sabtu lepas, PN mendakwa mereka yakin akan menang sekurang-kurangnya 20 kerusi di Pulau Pinang - hanya perlukan satu kerusi lagi untuk membentuk kerajaan negeri.

Gerakan telah memimpin kerajaan negeri Pulau Pinang dari 1969 sehingga digulingkan pada 2008.

Parti itu kini merupakan parti komponen ketiga dalam PN tetapi sering dilihat oleh pemerhati politik sebagai rakan kongsi yang tidak mendapat manfaat daripada “gelombang hijau” semasa pilihan raya umum ke-15.