Skip to main
Logo Malaysiakini

Gerakan balas Lim: Siapa pilihan PH jadi calon KM P Pinang?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengerusi Gerakan Dominic Lau mencabar PH untuk mendedahkan calonnya bagi jawatan ketua menteri Pulau Pinang pada pilihan raya negeri akan datang.

Lau berkata demikian selepas veteran DAP Lim Kit Siang menyoal jika Lau akan dilantik sebagai ketua menteri PN untuk negeri itu.

Lim turut bertanya Lau sekiranya dia akan dapat bersuara terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, Lau berkata dia menghargai keprihatinan Lim, tetapi yang vetera DAP itu perlu menjelaskan terlebih dahulu sama ada ketua menteri penyandang Chow Kon Yeow akan dilantik semula ke jawatannya atau tidak.

Dia merujuk laporan media sebelum ini yang mendakwa beberapa pihak dalam DAP melobi supaya anak pengerusi parti Lim Guan Eng kembali menjadi ketua menteri.

“Walaupun penafian pantas daripada kepimpinan tertinggi DAP termasuk daripada Guan Eng sendiri, sehingga kini, Chow mahupun Guan Eng tidak mendedahkan siapa yang akan menjadi ketua menteri Pulau Pinang seterusnya.

“Memandangkan Kit Siang berpendapat adalah penting untuk menentukan siapa ketua menteri Pulau Pinang berikutnya, maka adalah wajar untuk mengumumkan siapa yang akan menjadi calon Pakatan Harapan untuk ketua menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya.

"Lagipun DAP kini adalah kerajaan yang memerintah di Pulau Pinang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Chow dan Lim Guan Eng.

Lau berkata PN telah bersedia untuk pilihan raya walaupun menghadapi pelbagai halangan dan kekurangan sumber kerajaan persekutuan serta tidak ada masa untuk menyelidiki secara spesifik siapa calon ketua menteri gabungan itu.

Semasa Konvensyen PN Pulau Pinang pada Sabtu, Lau secara jelas menyatakan keutamaan gabungan itu adalah terlebih dahulu menguasai Pulau Pinang sebelum menentukan ketua menteri.

Katanya, Gerakan dan gabungannya PN merupakan entiti politik yang mengutamakan rakyat dan tidak pernah menjadikan kedudukan kuasa sebagai pertimbangan utama.

‘Ada menteri DAP pegang mikrofon bekas PM’

“Bagi PN dan Gerakan, keutamaan terletak pada menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat Pulau Pinang seperti melarang pembangunan lereng bukit dan penebangan hutan kerana ini adalah punca utama banjir.

"Menangani masalah tebus guna tanah, menangani isu bekalan air, menambah baik pengangkutan di Pulau Pinang dan menangani kos sara hidup dan cabaran ekonomi yang dihadapi oleh rakyat.

“Kami bukan macam DAP kerana Gerakan tidak akan bekerjasama dengan seteru politik yang telah mengkritik mereka selama bertahun-tahun hanya untuk memegang jawatan dan mendapatkan kuasa.

“Gerakan tidak akan membawa bekas perdana menteri yang sudah bersara kembali ke arena politik semata-mata untuk mendapatkan kuasa politik, dan kami (Gerakan) juga tidak akan menunjukkan rasa hormat yang keterlaluan kepada bekas perdana menteri, walaupun selepas memenangi 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum sebelum ini.

"Malah ada menteri DAP yang pernah membantu (bekas) perdana menteri itu memegang mikrofon,” katanya.

Walaupun tidak menyebut nama namun dipercayai kenyataan Lau itu merujuk kerjasama DAP bersama Dr Mahathir Mohamad pada PRU14 lalu.

Pilihan raya umum 2018 menggabungkan pemimpin politik yang berseteru sekian lama apabila Dr Mahathir membentuk pakatan bersama PH melalui partinya Bersatu.

Kerajaan pimpinan Mahathir tidak bertahan lama apabila runtuh pada 2020 melalui Langkah Sheraton dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Mahathir keluar berstau dan menubuhkan Pejuang tetapi parti itu kalah semua kerusi yang ditandingi pada PRU15.

Mahathir turut tewas di kubu kuatnya di parlimen Langkawi serta hilang wang pertaruhan kepada wakil Bersatu Mohd Suhaimi Abdullah.

Baru-baru ini, Dr Mahathir melalui inisiatif Proklamasi Melayu berjaya mendapat sokongan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang merupakan sekutu PN.

Dalam pada itu, Lau menegur DAP kerana kononnya bersubahat dengan Umno. Dia membayangkan perbezaan terbesar antara PN dan PH ialah PN menolak rasuah dan Umno sedangkan PH menyokongnya.

DUN Pulau Pinang dijadual bubar pada 28 Jun, membuka jalan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari bersama pilihan raya di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Lau sebelum ini mengumumkan rancangan untuk bertanding di salah sebuah DUN di Seberang Perai.

[Baca berita asal]