Skip to main
Logo Malaysiakini

Agihan kerusi PH-BN: Enam daripada 9 pertindihan di tiga negeri

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Enam daripada sembilan kerusi yang berlaku pertindihan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN membabitkan tiga negeri iaitu, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Malaysiakini difahamkan daripada enam kerusi berkenaan, pertindihan dua kerusi berlaku di Selangor, dua kerusi di Negeri Sembilan dan dua kerusi di Kedah.

Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaludin Alias mengesahkan pertindihan di Negeri Sembilan ketika dihubungi Malaysiakini.

"Dua (kerusi) saja (berlaku pertembungan).

"(Kita) serah kepada majlis presiden untuk memutuskannya," katanya tanpa mendedahkan dua kerusi yang bertindih itu.

Jalaludin Alias

Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata isu pertindihan kerusi antara PH dan BN di beberapa negeri termasuk Selangor bagi pilihan raya negeri (PRN) yang tidak dapat diputuskan di peringkat negeri, akan diselesaikan oleh kepemimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.

Amirudin yang juga naib presiden PKR berkata perkara itu akan dibawa kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi untuk diputuskan.

Selain Selangor, Amirudin berkata terdapat sebilangan kecil kerusi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu yang perlu dimuktamadkan di peringkat kepimpinan tertinggi.

Dalam pada itu, sumber Umno Kedah memaklumkan terdapat dua pertindihan kerusi di negeri itu antara PH dan BN yang kini dalam rundingan.

"Di Kedah hanya dua kerusi yang masih gagal diselesaikan. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan isu berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Jazlan Yaakub

Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub pula memaklumkan proses agihan kerusi antara PH dan BN di negeri itu berjalan lancar dan tiada pertindihan berlaku.

Bagaimanapun nada berbeza di Terengganu apabila pengerusi Umno negeri Ahmad Said memberi bayangan wujud "pertembungan" dengan PKR dalam soal agihan kerusi.

Ahmad dilaporkan menggesa PKR mengukur kekuatan mereka di Terengganu sebelum meminta untuk bertanding di lebih banyak kerusi.

Bekas menteri besar Terengganu itu berkata pertembungan di negeri berkenaan lebih tertumpu kepada BN dan PAS.

Terdahulu, Pengerusi PKR Terengganu Nik Nazmi Nik Ahmad berkata parti itu berpotensi untuk menawan beberapa kerusi di negeri itu dan memiliki kekuatan di kawasan bandar.

Pada PRU14, PKR dan Amanah masing-masing bertanding di 11 DUN di Terengganu manakala Bersatu, yang ketika itu masih merupakan komponen dalam PH, bertanding di 10 kerusi.

Namun kesemua calon PH ditewaskan sama ada oleh PAS atau BN.