Skip to main
Logo Malaysiakini

'Hampir semua' pengangkutan awam S'wak guna tenaga hijau menjelang 2030

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Sarawak menyasarkan "hampir semua" pengangkutan awamnya dikuasakan oleh tenaga hijau menjelang 2030, kata Premier Abang Johari Openg.

"Menjelang 2030, saya rasa hampir semua pengangkutan awam kita akan menggunakan kenderaan hidrogen atau elektrik (EV).

"Semoga Kuching bersih tanpa karbon," katanya pada majlis makan malam gala Shape the World Summit 2023 di Kuching, Sarawak lepas malam, menurut Borneo Post.

Abang Johari berkata kenderaan ini akan dikuasakan dengan sumber tenaga daripada sumber boleh diperbaharui seperti solar, angin dan hidroelektrik melalui kerjasama awam-swasta.

Kerajaan Sarawak, katanya sudah pun bekerjasama dengan Shell untuk menjana kuasa bagi platform luar pesisir yang dimanfaatkan daripada ladang tenaga solar dan angin.

Projek ladang solar terapung di Empangan Batang Ai turut menambah grid, katanya.

"Dalam erti kata lain, apa yang saya kongsikan ialah penyelesaian kepada perubahan iklim.

"Kami mempunyai tenaga hidro, solar dan tenaga angin, dan sudah tentu, bekalan sumber semula jadi," katanya.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai potensi besar dalam menjana tenaga hijau kerana kawasan daratannya dan 70 peratus keperluan elektrik Sarawak dipenuhi oleh hidroelektrik.

Sejak menjadi ketua menteri Sarawak pada 2017, Abang Johari secara agresif mempromosikan ekonomi berkuasa hidrogen.

Kerajaan negeri menyasarkan untuk memperkenalkan sistem transit pantas autonomi (ART) berkuasa hidrogen untuk Kuching menjelang akhir 2025.