PM tawar Acryl Sani peranan di luar negara - Saifuddin
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menawarkan polis atasan Acryl Sani Abdullah Sani "peranan" di luar negara untuk rancangan persaraannya.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan tugas Ketua Polis Negara antara Acryl dan Razarudin Husain di Kuala Lumpur pagi tadi.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, Acryl keberatan menerima jawatan itu di luar negara kerana tidak mahu berpisah dengan cucu dan ahli keluarga yang lain.
"Beberapa minggu lepas. Hari Jumaat PM panggil.
"Kemudian saya dan KSU (KDN) meninggalkan lebih awal tapi Acryl terus dengan perdana menteri lagi.
"Agak lama kemudiannya selepas tu baru saya diberitau PM bertanyakan rancangan persaraan Tan Sri.
"Sebenarnya kecenderungan perdana menteri untuk posisikan Tan Sri di satu peranan di luar negara.
"Tapi Tan Sri dia ingat cucu dia, keluarga dia, dia ingat jemaah masjid dia," kata Saifuddin.
Pun begitu, menteri dalam negeri tidak menyatakan peranan yang ditawarkan oleh Anwar kepada Acryl atau sama ada bekas ketua polis itu telah menerimanya.
Terdahulu, Acryl ketika berucap menyebut secara ringkas tentang bagaimana perdana menteri telah membuat tawaran kepadanya, tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.
“Apabila saya beritahu beliau (Anwar) hasrat untuk menamatkan kontrak lebih awal dari tarikh asal 3 Okt 2023, perdana menteri sangat bertimbang rasa menawarkan saya perancangan selepas bersara.
"Saya ditawarkan dengan perancangan lepas bersara dan saya tidak jangkakan budi baik yang dipanjangkan kepada saya itu," katanya.
Sebelum ini, Acryl Sani mengumumkan akan menamatkan kontraknya lebih awal iaitu pada Julai ini, walaupun perkhidmatannya akan berakhir pada Oktober depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai