ULASAN | Ada apa dengan rundingan tak rasmi isu Myanmar oleh Thailand?
ULASAN | Mengapakah rundingan tidak rasmi mengenai Myanmar pada Isnin lepas dijalankan dengan tergesa-gesa padahal kerajaan baru akan dibentuk selepas Parti Move Forward (MFP) memenangi paling banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) Thailand?
Sepatutnya junta tentera sementara Thailand tidak perlu bertindak tergesa-gesa mengadakan rundingan tidak rasmi ini kerana mereka akan menyerahkan dasar luar kepada kerajaan yang akan mengambil alih. Ini dianggap sebagai sesuatu yang rutin dalam sesebuah negara demokrasi.
Alasan yang diberikan kerajaan sementara dalam penganjuran rundingan tidak rasmi mengenai Myanmar adalah perlu untuk melindungi sempadan dan rakyat Thailand selain mencari jalan untuk menamatkan keganasan di negara yang dikuasai junta itu.
Kenapakah baru sekarang dalam situasi peralihan kerajaan perkara melindungi sempadan difikir sebagai sesuatu yang tergesa-gesa dan amat prihatin?
Perdana menteri sementara, Prayuth Chan-o-cha, mempertahankan mesyuarat tidak rasmi antara negara yang terjejas oleh situasi Myanmar anjuran Bangkok.
Katanya kerajaan Thailand tidak memihak dalam konflik Myanmar. Prayuth berkata, rundingan adalah perlu, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).
Thailand dan Myanmar berkongsi sempadan lebih 3,000 kilometer. Ia memberi kesan kepada rakyat Thailand dan pekerja asing.
Namun usaha Thailand yang tergesa-gesa umpama telunjuk lurus kelingking berkait – nampak betul tetapi ada perkara yang disembunyikan.
Sentraliti ASEAN
Nampaknya ketergesaan Thailand itu mendapat perhatian di peringkat antarabangsa sehingga Penasihat Kanan di Pusat Masyarakat Sivil Prague, Republik Chezh, Igor Blazevic dalam ulasan (dipetik daripada The Irradawy, 16 Jun 2023) terhadap perkembangan yang berlaku mengatakan usaha kerajaan sementara mengadakan rundingan tidak rasmi mengenai Myanmar itu (sebelum kerajaan baru memerintah) bertujuan mengesahkan junta tentera Myanmar sebagai sebuah kerajaan yang merampas kuasa pada 2021 .
Jika andaian pengesahan berlaku melalui rundingan tidak rasmi anjuran Thailand ini, ia akan mencetuskan kebimbangan yang boleh membawa pemimpin junta dijemput ke mesyuarat Asean.
Oleh itu tindakan Thailand dengan langkah unilateral itu dapat menjejaskan kesatuan ASEAN dan konsensus antarabangsa di mana blok serantau ini merupakan forum utama mencari jalan penyelesaian kriris di Myanmar.
Sekiranya junta Myanmar dijemput ke mesyuarat ASEAN, garisan merah akan dilanggar dan tidak akan ada lagi sentraliti Asean dalam merundingi krisis Myamnar yang seolah-olah akan membawa kepada pengiktirafan junta tersebut.
Sebelum ini pun kerajaan sementara Thailand telah didakwa terlalu rapat dengan regim tentera Myanmar dan diam membisu dan tiada sebarang gerak balas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh regim junta ke atas rakyat dan pemimpin yang menentang rampasan kuasa tentera tersebut.
Harus diingat juga kerajaan sementara Thailand adalah regim tentera yang merampas kuasa sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.
Pada Disember tahun lepas, Thailand menganjurkan rundingan tidak rasmi dengan beberapa pemimpin ASEAN membincangkan krisis Myanmar. Dalam rundingan tersebut Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin dijemput.
Pada Mac tahun ini, Thailand juga menganjurkan rundingan meja bulat Track 1.5 mengenai Myanmar sebagai saluran tambahan untuk dialog dengan negara yang terjejas dengan krisis Myanmar. Negara yan menghadirinya ialah negara anggota ASEAN iaitu Kemboja, Laos, Vietnam disertai wakil dari China, India, Bangladesh dan Jepun.
Kerajaan sementara Thailand pimpinan Prayuth Chan-o-cha mengetahui bahawa dasar luar kerajaan baharu yang diketuai MFP akan mengenepikan segala strategi dasar luarnya berhubung dengan Myanmar.
Hubungan Prayuth dengan junta tentera Myanmar telah terjalin selama sembilan tahun akan terkubur dengan pembentukan kerajaan baharu.
Jika rundingan tidak rasmi berjaya diuruskan sebelum Ogos ini, kerajaan baharu memerintah berhadapan dengan kesukaran untuk menukar dasar luarnya kerana Laos yang akan menjadi pengerusi Asean mengantikan Indonesia pada 2024 mengadakan rundingan dialog Track 1.5.
Malaysia kelihatan tak bersetuju
Laos adalah negara yang menghadiri persidangan tidak rasmi itu. Negara lain yang menghadiri adalah Myanmar, Brunei, Kemboja, Laos, Filipina, Vietnam, India dan China.
Laos dan Kemboja adalah dua negara yang dasar luarnya berkiblat ke China.
Tiga negara anggota utama ASEAN - Malaysia, Singapura dan Indonesia telah menyatakan tidak akan menyertai mesyuarat itu.
Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata Menteri Luar Zambry Abdul Kadir tidak akan dapat menghadiri perbincangan tidak rasmi mengenai Myanmar kerana komitmen terdahulu. Zambry akan berlepas ke Belanda pada Isnin untuk lawatan kerja dua hari.
Dalam hubungan ini, Wisma Putra turut mengimbas kembali keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo baru-baru ini yang menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara sebagai rujukan dan mandat ASEAN yang sah dalam menangani isu Myanmar.
Malaysia kelihatan tidak bersetuju engan rundingan tidak rasmi Thailand itu.
Dalam hal ini, Malaysia kekal menyokong usaha yang dijalankan oleh pengerusi ASEAN dalam mencari penyelesaian untuk Myanmar, menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Pembentukan kerajaan baru Thailand dibimbangi kuasa besar China akan menjejaskan rangkaian hubungan rapat dengan empat negara iaitu Myanmar, Laos, Thailand dan Kemboja di rantau Asia Tenggara yang merupakan santunan hubungan Inisiatif Belt and Road, atau One Belt One Road (BRI)
Jika dasar luar kerajaan baru cenderung ke Washington, Myanmar, tentulah akan mengalami tekanan keras daripada pihak antarabangsa terutamanya AS. Isunya bukan di sekitar ketidakperimanusiaan junta tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya atau penentang junta tetapi kepentingan geopolitik yang tidak akan dinikmati dan dikuasai China lagi
AS akan menggunakan kesempatan ini untuk mengukuhkan penguasaannya di Asia Tenggara dalam persaingan dengan China selepas Filipina berpendirian berpihak ke Washington.
Ini memandangkan mereka yang dibelakang MPF dan Parti Pheu Thai, adalah ahli perniagaan laksawan Thanathorn Juangroongruangkit dan Thaksin Shinawatra yang berkiblat ke AS.
Kerajaan baharu dijangka akan berkerjasama dengan Washington khususnya dalam isu persaingan penguasaan Laut China Selatan.
Ini yang menimbulkan kerisauan China kerana pelaburan China yang akan besar di Myanmar yang diperintah oleh junta yang berkiblat ke Beijing. Antara projek China di Myanmar ialah saluran minyak dan gas sejauh 973 km melalui wilayah Magwe dan Mandalay dan negeri Shan ke wilayah Yunnan di China.
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah penulis adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.
Pandangan yang dilontarkan penulis artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai