Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS nafi Hadi keluarkan amanat halalkan fitnah, bunuh

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tidak pernah Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan berbaur ganas sebagai "amanah" untuk para ahli PAS, kata jurucakap parti itu hari ini.

Kenyataan ringkas itu dibuat ekoran tersebarnya poster mendakwa presiden PAS terbabit kononnya 'menghalalkan' tiga perbuatan yang bercanggah dengan agama iaitu memfitnah, memutuskan persaudaraan dan membunuh.

Bercakap kepada Malaysiakini, Setiusaha Akhbar Abdul Hadi, Abdul Malik Ab Razak, memberitahu kenyataan tersebut adalah tidak benar.

"Harap maklum bahawa poster yang disebarkan itu adalah fitnah dan palsu. Tuan Guru (Abdul Hadi) tidak pernah mengeluarkan amanat tersebut," katanya.

Terdahulu tular tangkap layar yang mendakwa kononnya Abdul Hadi memberikan tiga amanat kepada "pejuang Islam". Poster itu turut dikaitkan dengan nama Adun Kubu Gajah di Perak, Khalil Yahaya.

Khalil beberapa hari lalu terbabit menyebarkan dakwaan kononnya Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dilantik menjadi pengerusi Felda bagi menggantikan pemimpin Umno, Idris Jusoh.

Khalil sudah mengakui kesilapan tersebut dan meminta maaf. Pihak Adun PAS itu juga mendakwa hantaran berkenaan bukan dibuat oleh Khalil sendiri sebaliknya dilakukan penyelenggara akaun Facebooknya.

Untuk rekod Abdul Hadi bukanlah asing dengan "amanat" dalam langkah politik PAS. Pada awal 1980-an kenyataan dibuatnya dalam ceramah semasa mengkritik Umno-BN menjadi terkenal selama bertahun-tahun.

Kata-kata ucapan disebut Abdul Hadi di Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada April 1981 itu kemudian dikenali sebagai Amanat Haji Hadi.