Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada istilah 'abang besar' dalam PN, kata Muhyiddin

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tidak wujud istilah “abang besar” dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun PAS diperuntukkan paling banyak kerusi dalam pilihan raya negeri yang semakin hampir, kata pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, PAS lebih lama berbanding parti itu dan mempunyai banyak kerusi di negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Kita tak panggil abang besar ke, abang kecil. Saya pengerusi Bersatu dan PN, dan disokong oleh PAS. Tak kisah siapa yang memimpin asalkan kita ada tekad, azam dan perjuangan yang sama,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pagoh hari ini.

Bekas perdana menteri itu mengulas dakwaan bahawa PAS kini menjadi "abang besar" dalam PN apabila parti Islam itu bertanding sebanyak 126 kerusi daripada 245 kerusi pada PRN akan datang.

Bersatu pula akan bertanding di 83 kerusi manakala Gerakan di 36 kerusi.

Agihan kerusi adil

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pembahagian kerusi dilakukan secara adil dengan kebanyakan kerusi yang diberikan kepada PAS ialah kerusi yang dimenangi di negeri-negeri Pantai Timur dan Kedah.

"Tapi kita rasa pembahagian itu agak adil. Di negeri utara, PAS dah ambil, di Selatan iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Bersatu lebih, begitu juga Pulau Pinang.

"Bagi kami tak jadi masalah. Dah diputuskan dengan baik," jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata PN masih belum memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri.

Menurutnya penyertaan calon muka baru juga akan diputuskan selepas mengambil kira sama ada penyandang di sesuatu kerusi layak bertanding atau sebaliknya.

"Apa pun biasalah, kita pastikan ada penyertaan yang adil atau sesuai oleh kategori-kategori kumpulan calon yang akan dikemukakan kepada kita,” ujarnya.

PRN diadakan di enam negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan yang dikuasai PAS, manakala Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai Pakatan Harapan.