Skip to main
Logo Malaysiakini

Khalid: Jumlah kerusi diperolehi PH di Kelantan munasabah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jumlah kerusi DUN yang diberikan kepada PH untuk ditandingi pada PRN Kelantan adalah munasabah, kata Pengerusi Amanah Kelantan Khalid Abdul Samad.

Khalid yang enggan menamakan dan jumlah kerusi yang diterima PH hasil perbincangan bersama BN itu juga berkata jumlah itu lebih baik berbanding diterima Bersatu yang membentuk gabungan dengan PAS dalam PN.

“Kami tidak terpinggir seperti Bersatu dengan PAS. Di Kelantan kami juga memang akur BN yang akan memimpin berdasarkan kepada keputusan pilihan raya dahulu,” katanya pada sidang media di Pejabat Amanah Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman dilapor berkata calon BN akan diletakkan di 31 kerusi manakala 14 kerusi diberikan kepada PH yang merangkumi Amanah dan PKR.

Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat pula mengesahkan parti itu akan bertanding di 39 kerusi DUN manakala Bersatu akan menentang BN di enam kerusi.

Sementara itu, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah berkata parti itu menyasarkan untuk memenangi tiga atau empat kerusi DUN pada PRN Kelantan nanti.

Dia bagaimanapun tidak mahu mendedahkan nama kerusi DUN yang disasarkan parti itu.

“Pembahagian kerusi di peringkat negeri sudah selesai dan hanya menunggu keputusan pusat,” katanya.

DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan secara rasmi pada Rabu bagi memberi laluan kepada PRN.

-Bernama