Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis sahkan poster Teresa dilantik pengerusi baru Felda palsu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis mengesahkan poster tular di media sosial yang memaparkan ucapan tahniah kepada ahli parlimen Seputeh Teresa Kok atas pelantikannya sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut oleh wanita berusia 59 tahun itu pada kira-kira lima petang kelmarin (Khamis).

"Kejadian tersebut disedari semasa pengadu (Teresa) berada di pejabatnya di Desa Entrepreneurs Park Off Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur. Pengadu terpaksa menambah perkataan palsu pada poster yang tular ini dan dikongsikan di media sosial bagi membuat penafian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata siasatan awal mendapati hantaran tersebut berasal dari laman Facebook milik seorang Adun di Perak.

Katanya, siasatan mendapati poster tersebut adalah palsu dan tidak benar selepas mendapat pengesahan daripada Felda yang memaklumkan tiada sebarang pengumuman rasmi berhubung pelantikan pengerusi Felda setakat ini.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung poster yang tular kerana masih dalam siasatan polis,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

-Bernama