Kes rasuah: Isa Samad masuk hospital, pendengaran rayuan ditangguh
Bekas pengerusi Felda Isa Abdul Samad dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan semalam ekoran masalah jantung.
Justeru, Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran rayuannya yang dijadual hari ini kepada 16 Oktober, bagi sabitan atas sembilan pertuduhan rasuah serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta berkaitan kes pembelian hotel di Sarawak.
Ketua pembelaan Sallehuddin Saidin memberitahu panel tiga hakim dipengerusikan Hadariah Syed Ismail bahawa Isa tidak dapat hadir ke pendengaran hari ini ekoran perkara itu.
"Pagi ini, kami menerima laporan perubatan dari hospital yang menyatakan dia dimasukkan ke wad," katanya.
Sallehuddin berkata isteri Isa, yang juga menjadi penjaminnya, juga tidak dapat hadir kerana tidak dapat berjalan selepas menerima suntikan di lututnya.
Katanya lagi, anak pasangan itu hadir ke mahkamah hari ini.
Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan permohonan penangguhan selepas tidak menerima bantahan daripada timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz dan menetapkan 16 Oktober sebagai tarikh pendengaran baru rayuan.
"Diharapkan Tan Sri (Isa) sihat pada 16 Oktober," kata Hadariah.
Kes tersebut berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) yang dibuat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Pada 3 Februari 2021, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjadi hakim Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.
Ketika menjatuhkan hukumannya, Mohd Nazlan berkata walaupun Isa banyak memberi sumbangan kepada masyarakat, perlu ditekankan yang rasuah adalah perkara serius kerana ia mengancam pertumbuhan ekonomi serta kedaulantan undang-undang negara, serta membuatkan rakyat dinafikan perkhidmatan yang berkesan.
Nazlan juga memutuskan Isa perlu menjalani tambahan hukuman penjara 18 tahun jika gagal membayar denda.
Namun, dia membenarkan hukuman ditangguhkan sementara permohonan rayuan berjalan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai