Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosmah mohon tangguh pendengaran rayuan kes rasuah solar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rosmah Mansor memohon agar pendengaran rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya berkaitan kes rasuah projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dijadual Julai ini, untuk ditangguhkan.

Pasukan pembelaannya memohon penangguhan itu bagi menunggu keputusan satu lagi rayuan berkaitan di Mahkamah Persekutuan.

Rayuan itu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Jun lalu yang menolak tindakan sivilnya bagi membatalkan kes tersebut terhadapnya.

Ketika dihubungi media, seorang anggota pasukan pendakwaan mengesahkan permohonan penangguhan itu dan berkata Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh bagi mendengarnya.

Malaysiakini sedang menghubungi pasukan peguam Rosmah berhubun perkara ini.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Rosmah bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Bagaimanapun, dia memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah berkenaan ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 11 Julai.

Berkenaan tindakan sivilnya, Rosmah berkata kes tersebut terbatal dari awal ekoran pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mendiang Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan secara tidak sah.

[Baca berita asal]