Skip to main
Logo Malaysiakini

Insp Sheila dakwa belum dapat surat gantung kerja

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang mencetuskan kontroversi selepas tular menerusi beberapa klip video di media sosial mendakwa dia belum menerima surat penggantungan tugasnya.

Justeru Sheila Sharon Steven Kumar berkata dia terkejut apabila Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa tugasnya bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah digantung.

"Hakikatnya sehingga hari ini saya tidak diberikan surat penggantungan, jadi masih ada perkara yang bercanggah," katanya kepada pemberita selepas didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Peguam Sheilan, M Manoharan, kemudian turut mengesahkan wanita terbabit masih seorang pegawai polis.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada tertuduh itu masih bertugas secara aktif atau pun tidak.

Sheila mendapat perhatian umum selepas video dia bertengkar dengan orang berpangkat renda menjadi tular di media sosial.

Dia kemudian ditahan pihak berkuasa pada 19 Jun. Tiga hari kemudian Saifuddin berkata tugas Sheila digantung untuk sementara bagi menunggu hasil siasatan.

Pagi tadi Sheila, 34, didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas tiga pertuduhan di dua mahkamah berasingan, iaitu melakukan ugutan jenayah dan menghina kesopanan individu.

Dia mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan majistret Nur Hafizah Rajuni dan Chai Guan Hock.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, dan menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Sheila turut mengadu dia diberikan layanan kasar ketika digari.

Dia turut menunjukkan kepada media kesan lebam pada pergelangan tangannya, didakwa akibat gari yang diikat terlalu ketat.

"Ia sangat ketat. Saya beritahu mereka tolong longgarkan gari, (tetapi jawapan mereka) 'Diam, ikut' (diam, akur).

"Beginilah cara mereka melayan seorang pegawai polis," katanya.

Sementara itu PDRM dalam kenyataannya petang ini memberitahu perintah tahan kerja ke atas Sheila sudah dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Azri Ahmad berkata tindakan tersebut dibuat mengikut Seksyen 78 Akta Polis 1967.

“Sehubungan itu segala kuasa, hak dan keistimewaan subjek (Sheila) sebagai seorang pegawai polis adalah tergantung sehingga diputuskan oleh pihak berkuasa tatatertib,” katanya.