Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: K'jaan negeri 'sementara' perlu henti umum projek baru - Bersih

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

NGO reformasi pilihan raya mengingatkan kerajaan negeri yang mentadbir sementara berlangsungnya PRN perlu memastikan operasi asas kerajaan berjalan lancar sehingga kerajaan baru dibentuk.

Bersih menggesa semua kerajaan negeri yang akan bertanding pada pilihan raya enam negeri (PRN) supaya tidak membuat sebarang keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek.

"Sebarang keputusan atau pengumuman baharu secara demokratiknya adalah salah serta meragukan dari sudut undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain penjaga sementara.

"Pejabat setiausaha kerajaan-kerajaan negeri perlu mengeluarkan satu garis panduan kerajaan sementara sebagaimana yang telah dilakukan di peringkat persekutuan,” kata NGO itu.

Garis panduan tersebut, jelas Bersih menetapkan bahawa kerajaan sementara tidak boleh membuat sebarang keputusan atau dasar yang boleh mengikat.

Selain itu, kerajaan sementara tidak boleh mengambil tindakan yang memberi implikasi kewangan serta membebankan kerajaan yang baru dibentuk melainkan jika tindakan tersebut perlu dilakukan demi kepentingan awam.

Bersih menjelaskan bahawa sebarang projek yang sedang dijalankan oleh kerajaan negeri hanya boleh dijanjikan dalam manifesto mereka dan tidak boleh diumumkan sebagai keputusan.

"Bersih menggesa rakyat Malaysia untuk memantau dan mendesak semua kerajaan negeri yang bakal terbubar menghormati asas demokrasi.

"Sekiranya salah laku dibenarkan kerana bias politik, maka semua parti akan berlumba-lumba ke arah keburukan dengan membentur undang-undang untuk memenangi pilihan raya dengan mengorbankan kepentingan awam," kata NGO itu lagi.