Skip to main
Logo Malaysiakini

Pejabat Kesihatan Tawau gesa buat aduan jika ada gejala muntah, cirit-birit

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pihak berkuasa kesihatan daerah Tawau di Sabah memberi jaminan akan menyiasat setiap aduan kes sakit perut, muntah dan cirit-birit yang diterima, termasuklah kemungkinan kes acute gastroenteritis (AGE).

Justeru, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr Shameer Khan Sulaiman meminta orang ramai yang mengalami gejala sebegitu agar segera memaklumkannya kepada pihak mereka untuk siasatan lanjut.

"Kita memang ada terima aduan dan kita siasat kemungkinan kes acute gastroenteritis (AGE).

"Namun kita berdepan cabaran untuk mengenal pasti punca kerana berdasarkan siasatan, ia biasanya bersifat sporadic (rawak).

"Kita tetap sarankan agar orang ramai menghubungi pejabat kesihatan agar kami boleh siasat lebih lanjut," katanya kepada Malaysiakini.

AGE adalah sejenis penyakit bawaan air yang sering dikaitkan dengan paip air tercemar dengan gejalanya termasuk muntah, cirit-birit, demam dan kekejangan perut.

Malaysiakini sebelum ini menerima aduan daripada ibu bapa dan guru di Tawau yang mendapati anak-anak dan murid mereka mengalami gejala berkenaan.

Salah seorang pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Sudirman memaklumkan isteri dan ketiga-tiga anaknya mengalami gejala berkenaan sejak minggu lalu.

"Dua anak saya muntah-muntah dan yang paling bongsu cirit birit. Isteri saya mengalami sakit perut.

"Saya harap pihak berwajib siasat punca kerana keluarga kami bukan satu-satunya yang ada gejala sebegitu.

"Saya dapat tahu ramai kes sama di Tawau dalam tempoh seminggu dua ini," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Shameer berkata pihaknya sebelum ini mengunjungi salah satu sekolah yang melaporkan kes seumpamanya dan mendapati kantin sekolah berkenaan dalam keadaan bersih.

"Namun kita bimbang kerana pelajar sekolah juga beli makanan dan minuman daripada penjaja di luar sekolah.

"Apabila pihak pejabat kesihatan datang, mereka (penjaja) dah lari," katanya.

Dr Shameer turut menyarankan agar klinik swasta yang menyaksikan peningkatan kunjungan pesakit dengan gejala berkenaan untuk memaklumkan Pejabat Kesihatan Kawasan.