Skip to main
Logo Malaysiakini

'Senarai hitam buat majikan ambil pekerja asing dari pihak ketiga'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan akan meletakkan mana-mana majikan yang mengambil pekerja melalui pihak ketiga dalam senarai hitam, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

"Kita akan senarai hitam majikan dan ambil tindakan terhadap mana-mana agensi pekerja yang menyumber luar pekerja asing," katanya ketika dtemui pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa bersama berhubung pengurusan pekerja asing antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

Saifuddin menjelaskan pemantauan amalan penyumber luaran dalam pengambilan pekerja asing bukan tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia, namun dasar kerajaan sememangnya melarang amalan itu.

Namun ketika ditanya jika tindakan khusus akan diambil terhadap mereka yang terlibat, Saifuddin tidak menjelaskan secara terperinci atau menyebut mana-mana undang-undang khusus yang boleh digunakan.

Terdahulu, pemegang taruh dalam isu hak pekerja asing membangkitkan kerisauan yang syarikat masih mendapatkan pekerja asing menerusi pihak ketiga walaupun amalan itu telah dilarang pada 2019.

Kerisauan itu bertambah selepas Kementerian Sumber Manusia mengakui langkah pemantauan terhadap pihak yang terlibat dalam amalan itu bukan di bawah bidang kuasa mereka.

Sementara kerajaan sedang meneliti langkah untuk mendapatkan kerja kepada 1,120 pekerja asing yang tersadai selepas tiba di Malaysia, Saifuddin berkata agensi yang terlibat membawa masuk mereka akan disenarai hitam.

“Kita tahu siapa ejen dan majikan yang melakukan perkara itu," katanya.

Katanya lagi, kebanyakannya dari Bangladesh dan tiba di Malaysia ketika kerajaan melonggarkan syarat kelulusan dan untuk bekerja dalam sektor pembersihan.

[Baca berita asal]