Skip to main
Logo Malaysiakini

Makna Aidiladha buat yang tidak menunaikan haji, korban

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tibanya Hari Raya Aidiladha, kita mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang penuh reda menerima perintah Allah untuk menyembelih anak yang amat disayangi baginda, Nabi Ismail.

Berkat keikhlasannya yang menerima perintah tersebut, Allah kemudian mengarahkan agar Nabi Ismail digantikan dengan seekor kibas.

Semua ini tertulis dalam al-Quran menerusi Surah al-Saffat, ayat 102 hingga 107.

Justeru, umat Islam yang berkemampuan dituntut melaksanakan ibadah korban sebagai simbolik kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS.

Selain itu, ibadah haji - salah satu rukun Islam yang menunjukkan kesamarataan kalangan Muslim serta penyerahan jiwa kepada Allah - juga dilaksanakan ketika hari raya ini. Kemampuan juga menjadi antara syarat bagi melaksanakan ibadah ini.

Namun, bagaimana pula nasib umat Islam yang tidak berkemampuan tetapi masih mahu menghayati makna pengorbanan di Hari Raya Aidiladha.

Berkongsi tentang hukum melakukan korban, Pensyarah Akidah dan Pengajian Agama Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar berkata bahawa ia hanya sunat muakkad dan perlu dilakukan oleh golongan yang berkemampuan sahaja.

“Bagi yang berkemampuan digalakkan untuk korban tapi yang tak mampu tak perlu sebab Islam ni memudahkan. Cukuplah dengan dia buat perkara-perkara sunat dan ikhlas kerana Allah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, dia berkata mereka yang tidak berkemampuan boleh melakukan ibadah lain yang boleh dianggap sebagai pengorbanan seiring dengan konsep Hari Raya Aidiladha.

“Selain daripada sembahyang sunat hari raya, kita boleh hidupkan malam dengan membawa al-Quran, selawat dan zikir.

“Perkara itu pun sudah dianggap pengorbanan kerana sanggup isi masa dengan perkara baik.

“Macam kita di Malaysia, biasanya kalau hari raya korban mesti kita bergotong-royong untuk melaksanakan ibadah korban. Itu pun inshaAllah dapat pahala dan ada juga pengorbanan dari segi masa dan tenaga,” katanya.

Jelas Ahmad Najaa’ lagi, konsep pengorbanan adalah luas dan tidak semestinya perlu melibatkan wang ringgit untuk membuktikannya.

“Kita bantu orang, berikan nasihat, sebarkan ilmu - ini semua dalam kategori pengorbanan juga yang mana mungkin pahalanya juga sama.

"Tetapi ada yang rasa tak cukup sebab tak keluar duit macam orang lain. Tuhan tak kira macam itu.

"Tuhan tidak membebankan hamba-Nya. Buat apa yang kita mampu, itu sahaja, yang penting hati kita ikhlas buat perkara baik kerana Allah,” katanya.

Dia juga berpendapat jika pahala itu hanya diukur dengan wang ringgit, hanya orang kaya sahaja yang layak masuk syurga dan tidak adil bagi orang miskin.

“Tak semestinya orang kaya sahaja layak masuk syurga sebab banyak lagi perkara lain yang kita boleh buat antaranya tambah amal ibadat atau mudahkan urusan orang lain.

“Jadi kalau kita tiada duit, jangan bersedih sebab Allah kira kesungguhan kita dan keinginan kita dalam melaksanakan ibadah lain, itu lebih penting,” katanya lagi.

Pensyarah kanan Jabatan Dakwah dan Usuluddin Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor Dr Salman Zainal Abidin berpandangan bagi kalangan yang tidak melakukan ibadah korban mahupun menunaikan haji, perkara paling besar yang boleh dilakukan adalah dengan menghayati makna aidil adha dan ibadah korban itu sendiri.

Istilah “korban” lazimnya merujuk sesuatu yang dikorbankan atau nama bagi ternakan yang disembelih pada Aidiladha. Ibadah korban pula dilaksanakan dengan menyembelih ternakan dengan tujuan untuk taqarrub kepada Allah pada masa-masa tertentu.

“Taqarrub ini adalah mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadah dan amalan baik.

“Jika seseorang itu mampu dari segi keupayaan untuk berpuasa, maka itu juga dikira ibadah yang boleh dilakukan pada awal bulan Zulhijjah ini. Kalau tak mampu buat ibadah haji dan korban, jadi cara mendekatkan diri pada Allah adalah sebegitu.

“Jika tidak mampu untuk melakukan korban sekalipun, dia boleh membantu dari segi proses penyembelihan, agihkan daging korban.

"Jadi kebersamaan itu adalah ruh yang boleh dicapai walaupun dia tidak melakukan korban tetapi dia bersama-sama membantu dalam mempersiapkan korban orang lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi Salman, pengajaran paling penting untuk diambil umat Islam daripada Aidiladha adalah untuk mengingati tiga watak - Nabi Ibrahim yang mewakili ayah, Nabi Ismail (anak) dan Hajar (emak).

“Apa kehebatan pada tiga watak ini? Kesemuanya saling bekerjasama untuk melaksanakan perintah Allah.

“Nabi Ibrahim mimpi kena sembelih anaknya, kalaulah anaknya tidak memberi kerjasama atau lari, boleh tak dia nak laksanakan perintah Allah? Sudah tentu tidak.

"Begitu juga jika isterinya (Hajar) tidak menyokong apa yang dilakukan oleh suaminya."

Dia membandingkan peristiwa itu dengan kisah Habil dan Qabil yang turut diperintah membuat korban.

“Anak Nabi Adam, Habil yang merupakan penternak memilih ternakan paling sihat dan gemuk untuk dipersembahkan kepada Allah. Manakala Qabil yang bertani memberi hasil tanaman yang tidak elok.

“Maka Allah memilih pemberian daripada Habil atas dasar ketakwaannya memberikan yang terbaik kepada Allah,” katanya

Kisah itu dirakamkan dalam Surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud: “Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putera Adam, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima."

“Itu adalah manifestasi kepada takwa yang sesungguhnya Allah terima daripada orang yang bertakwa...Jika ingin buat ibadah, kita perlu buat yang terbaik supaya Allah terima,” katanya lagi.

Ia berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat sama yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa.”

Ibadah korban sememangnya melibatkan penyembelihan haiwan, namun apa yang "sampai" kepada Allah bukanlah dagingnya, tetapi keikhlasan dan ketakwaan kita yang melakukannya hanya kerana-Nya.

Ia sebagaimana firman Allah dalam Surah al Hajj ayat 37: “Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.”