Skip to main
Logo Malaysiakini

'Selain Sg Kandis, Umno juga intai Hulu Kelang'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Umno difahamkan sedang mengintai kerusi DUN Hulu Kelang untuk ditandingi parti itu, menurut satu sumber yang rapat dengan kepimpinan BN dan PH.

Sumber Umno mendakwa parti itu berjaya berunding untuk mendapatkan kerusi tersebut, yang disandang oleh Saari Sungib daripada Amanah.

"Kita ada satu lagi kerusi, Hulu Kelang," kata sumber yang rapat dengan pejabat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Umno bahagian Kota Raja dilaporkan meminta PKR untuk memberi laluan di DUN Sungai Kandis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Menurut sumber dalaman parti itu, jumlah kerusi yang akan ditandingi BN di Selangor kini bertambah kepada 11 DUN.

Percubaan untuk mendapatkan pengesahan rasmi mengenai perkara ini daripada kepimpinan PH dan BN masih tidak berjaya.

Ketika dihubungi, pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad (gambar, atas) tidak mengesahkan mahupun menafikan jika Amanah bersedia memberi laluan kepada Umno di Hulu Kelang.

"Tiada apa-apa yang muktamad sehingga ia dimuktamadkan," katanya.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor Johan Abdul Aziz (gambar, atas) juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya sekiranya Umno berjaya mendapat kerusi ke-11 dalam proses rundingan.

"Belum muktamad,” katanya secara ringkas menerusi mesej teks.

Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu dan telah disandang oleh Saari Sungib selama tiga penggal berturut-turut.

Dia menang kerusi itu pada 2008 dan 2013 atas tiket PAS ketika era parti itu menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR.

Pada 2015, Saari (gambar, atas) keluar PAS untuk menubuhkan Amanah bersama beberapa bekas pemimpin PAS yang lain, dan menang di Hulu Kelang sekali lagi atas tiket PH pada pilihan raya umum 2018.

Bagaimanapun, Saari dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRN ini kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, satu lagi sumber Amanah, dari Hulu Kelang memberitahu Malaysiakini bahawa dia mengetahui hasrat Umno untuk meletakkan calon di Hulu Kelang pada PRN akan datang.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang isyarat daripada pimpinan PH bahawa kerusi itu akan diserahkan kepada Umno.

"Setakat ini, daripada petunjuk yang diberikan kepada kami di sini (Hulu Kelang), kami meneruskan persiapan kempen untuk Amanah mempertahankan kerusi itu," jelasnya.

Menurut orang dalam parti itu, Hulu Kelang tiada dalam senarai asal kerusi Selangor yang sedang dirundingkan antara PH dan BN.

Dia mendakwa rundingan antara kedua-dua pihak di peringkat negeri tidak menyentuh mengenai Hulu Kelang.

Bercakap mengenai perebutan kerusi Hulu Kelang yang dikatakan itu, sumber berkenaan percaya tidak adil jika Amanah memberi laluan kepada Umno, berkata ia satu-satunya kerusi Amanah yang berada di bawah kawasan parlimen Gombak.

Tidak timbul isu tuntutan kerusi

"Bercakap tentang berlaku adil, jika PH ingin memberi laluan kepada BN di Gombak, PKR yang patut melepaskan kerusi miliknya, kerana ia mempunyai dua kerusi untuk bertanding - DUN Gombak Setia dan Sungai Tua.

"Umno sepatutnya bertanding di Gombak Setia. Saya percaya mereka mempunyai peluang yang lebih baik di sana kerana ketua Umno bahagian Gombak (Megat Zulkarnain Omardin) mempunyai pengaruh besar di Gombak Setia," katanya.

Sebaliknya, pengarah media PH Hulu Kelang Syazmir Hariz Noorazalan berkata dia yakin kerusi itu akan kekal di tangan Amanah.

Kepimpinan tertinggi PH, katanya telah menyatakan setiap parti akan mempertahankan kerusi yang disandang mereka.

"Justeru, tidak timbul isu mengenai tuntutan bertindih bagi kerusi Hulu Kelang dan keperluan untuk rundingan, kerana semua parti politik dalam kerajaan perpaduan berpegang kepada prinsip asas ini.

“Selain itu, Umno-BN di Hulu Kelang telah mengambil bahagian dalam perbincangan serius berkaitan kerja-kerja di lapangan, dan ini menunjukkan komitmen mereka untuk membantu PH dalam mempertahankan kerusi itu,” katanya.

Sementara itu, difahamkan tiga nama calon berpotensi untuk mempertahankan kerusi Hulu Kelang telah diserahkan kepada pucuk pimpinan Amanah dan PH.

Azmin nak tanding di Hulu Kelang?

Antaranya termasuk anak sulung Saari, Anfaal, yang juga timbalan ketua sayap Wanita Amanah.

Perkara ini disahkan oleh Saari ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

"Anfaal ialah antara tiga nama yang dikemukakan oleh Amanah Gombak kepada kepimpinan parti Selangor. Saya mendapat tahu Selangor juga telah menghantar nama Anfaal (untuk Hulu Kelang) kepada pimpinan pusat.

"Daripada mereka bertiga, dua lagi ialah calon lelaki. Tetapi, berdasarkan pengalaman, Anfaal jauh lebih berpengalaman daripada mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Semasa pilihan raya umum 2018, Saari mempertahankan kerusinya dengan undi majoriti 15,349 apabila mengalahkan calon BN Ismail Ahmad dan calon PAS Kamalulhysham Mohd Suhut.

Terdapat juga khabar angin bahawa bekas Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali (gambar, atas) yang juga bekas ahli parlimen Gombak, akan bertanding di kerusi Hulu Kelang sebagai calon PN pada pilihan raya negeri akan datang.