Skip to main
Logo Malaysiakini

Sebelum PRN, Lau perlu pertahan dulu jawatan No 1 Gerakan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sebelum menghadapi pilihan raya enam negeri, Gerakan terlebih dahulu perlu menjalani pemilihan kepimpinan penting yang akan menyaksikan penyandang presidennya Dominic Lau dicabar.

Keputusan pemilihan parti ini berkemungkinan akan memberi kesan yang meluas terhadap cara Gerakan menghampiri pilihan raya negeri.

Pencalonan akan berlangsung pada 8 Julai dan pengundian akan diadakan seminggu kemudian. Ini bermakna kepimpinan baru hanya mempunyai masa beberapa minggu untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya di enam negeri itu.

Pemilihan kepimpinan Gerakan pada asalnya dijadualkan pada November 2021. Di bawah peraturan parti, ia mesti diadakan dalam tempoh lapan bulan selepas selesai pilihan raya umum lalu.

Malaysiakini difahamkan kepimpinan Gerakan pada mulanya menjangkakan pilihan raya negeri akan diadakan pada April atau Mei tahun ini.

Apabila jelas bahawa pilihan raya enam negeri akan diadakan kemudian, persidangan perwakilan pusat Gerakan telah meluluskan resolusi pada 26 Mac meminta lagi penangguhan bagi pemilihan parti.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa permintaan itu telah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan tetapi ia tidak berjaya, justeru pemilihan pucuk pimpinan parti mesti diadakan selewat-lewatnya pada 18 Julai.

Pencabar

Dominic akan memohon mandat perwakilan untuk menjadi presiden parti bagi penggal kedua - jawatan dimenanginya pada 2018. Pada masa itu, lawannya ialah Andy Yong, yang telah bersara daripada parti itu.

Difahamkan terdapat tiga pencabar yang berpotensi - Ketua Gerakan Wilayah Persekutuan Lau Hoi Keong, Ketua Gerakan Melaka Michael Gan dan ketua bahagian Simpang Renggam Liang Teck Meng.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Liang mengesahkan dia akan bertanding jawatan presiden Gerakan.

Liang, bekas setiausaha agung Gerakan dan ahli parlimen Simpang Renggam dua penggal, berkata tema kempennya ialah "maruah dan hati nurani".

Dia enggan mengesahkan jika dia ada membentuk pasukan dengan mana-mana pencabar yang berpotensi.

"Sudah pasti akan ada pasukan. Saya tidak boleh berkata banyak buat masa ini," katanya.

Hoi Keong memberitahu Sin Chew Daily dalam temu bual baru-baru ini bahawa dia berminat untuk bertanding jawatan presiden parti dan kini sedang mendapatkan nasihat daripada akar umbi dan pemimpin.

“Saya akan buat pengumuman tidak lama lagi. Saya akan memperkenalkan pasukan saya. Kami akan menawarkan pelan berbeza yang boleh menyesuaikan diri dengan situasi politik yang sentiasa berubah hari ini,” kata Hoi Keong.

Gan tidak menjawab permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan komen.

"Saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi. Saya akan memperkenalkan pasukan saya. Kami akan menawarkan pelan berbeza yang boleh menyesuaikan diri dengan situasi politik yang sentiasa berubah hari ini," kata Hoi Keong.

‘Siapa saja kecuali Dominic'

Sejak Dominic menjadi presiden Gerakan pada November 2018, parti itu telah beralih daripada menyokong Pakatan Harapan kepada akhirnya menyertai Perikatan Nasional.

Tempoh jawatan Dominic turut menyaksikan parti itu menyertai pilihan raya kecil Tanjung Piai, pilihan raya Melaka 2021, pilihan raya Johor 2022 dan pilihan raya parlimen 2022. Pada semua pilihan raya itu, Gerakan tidak memenangi satu kerusi pun.

Beberapa sumber Gerakan memberitahu Malaysiakini rentetan kegagalan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli Gerakan tetapi tidak jelas sama ada terdapat cukup perbezaan pendapat untuk memecat Dominic atau tidak.

Sumber yang menentang Dominic mengakui bahawa tidak ada kumpulan yang jelas yang boleh menimbulkan ancaman yang sah kepada penyandang jawatan itu. Ini kerana ahli Gerakan telah berkurangan sejak 15 tahun lalu, lima tahun ketika berada di bawah kepimpinan Dominic.

"Lihat pada pemilihan parti peringkat negeri kita. Banyak jawatan yang dimenangi tanpa bertanding kerana tidak ramai lagi yang tinggal. Tiada siapa yang mahukan pekerjaan ini," katanya.

Selain Kelantan, Terengganu, Sabah dan Selangor, tiada pertandingan untuk jawatan pengerusi Gerakan di negeri lain ketika pilihan raya diadakan pada Jun.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa mereka yang kekal dan setia kepada parti kecewa dengan kepimpinan Dominic, sering menyebut kekurangan hala tuju, visi dan strategi.

"Ke mana kita hendak pergi? Apakah jenis Malaysia yang sepatutnya dibina oleh Gerakan dengan Perikatan Nasional? Jika kita tidak mempunyai jawapan, bagaimana kita hendak membuat undian?

Sumber berkata mereka yang menentang Dominic bermotivasi untuk bersatu di bawah sepanduk "anything but Dominic" (asal bukan Dominic) dan memastikan pertandingan presiden akan menjadi pertarungan satu lawan satu.

Sumber yang menyokong Dominic memberitahu Malaysiakini bahawa adalah tidak bijak untuk menukar kepimpinan Gerakan sekarang kerana kesan negatifnya terhadap persiapan parti untuk pilihan raya enam negeri.

Difahamkan, jawatankuasa kerja pusat Gerakan yang ahlinya ditentukan oleh presiden parti akan mempunyai kata putus dalam senarai calon parti.

Oleh itu, sumber memberitahu Malaysiakini, jika berlaku pertukaran presiden, maka calon-calon mesti bertukar pada saat-saat akhir juga.

Lebih-lebih lagi, jika presiden baru muncul selepas pemilihan 15 Julai, ada kemungkinan kepimpinan baru itu menjejaskan hubungan parti dengan Perikatan Nasional.

Oleh demikian, nasib parti berusia 55 tahun itu bergantung pada keputusan pemilihan Gerakan yang akan datang.

[Baca berita asal]