Mansuh 80% hutang, peneroka Felda tarik nafas lega
Langkah kerajaan menstruktur semula pinjaman Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dilihat mampu memperbaiki aliran tunai agensi itu, sekali gus memberi manfaat besar kepada kebajikan dan kesejahteraan terhadap golongan peneroka.
Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff, berkata usaha yang dilakukan menerusi perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan itu, dapat mengurangkan prinsipal hutang agensi itu bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion serta memberi suntikan semangat baru kepada generasi baru peneroka Felda.
Ini kerana, katanya, pendapatan yang diperoleh tidak lagi hanya disalurkan untuk membayar hutang semata-mata tetapi juga sebagai keuntungan.
“Dengan pemansuhan 80 peratus hutang itu, peneroka mendapat pendapatan bulanan yang lebih serta kebajikan kembali terjaga dan Felda juga dapat bernafas (tiada hutang),” katanya kepada Bernama, hari ini.
Felda mampu bina rizab tunai
Felda ketika ini mempunyai lebih 120,000 peneroka membabitkan di 317 tanah rancangan di seluruh negara.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kami Anak Felda, Fakhurrazi Mohd Habib, berkata dengan penstrukturan semula pinjaman itu, Felda kini mampu membina semula rizab tunai yang boleh digunakan untuk menampung kos pendahuluan pengurusan ladang kepada peneroka, sekiranya hasil tidak memberangsangkan.
Katanya, ketika ini, peneroka kini terpaksa membayar potongan pendahulan tersebut secara penuh, walaupun hasil tidak memberangsangkan berikutan Felda tidak mempunyai rizab tunai yang mencukupi untuk menangguhkan potongan itu seperti yang diamalkan agensi itu sebelum ini.
“Sekarang ini Felda melakukan potong terus pendahuluan kos operasi, tidak seperti sebelum ini. Apabila kewangan kukuh, agensi itu mampu tangguhkan potongan itu jika pendapatan peneroka tidak berapa banyak selain dapat memberikan pelanjutan potongan hutang,” katanya.
Menurutnya, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandatangani Jaminan Kerajaan itu juga menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani kepada peneroka sekali gus dapat membantu Felda kembali kepada landasan asal penubuhannya.
Ketua Peneroka Felda Wilayah Sahabat, Sabah, General Linjal, pula berkata Jaminan Kerajaan itu membantu golongan peneroka meningkatkan taraf ekonomi mereka selain dapat memulihkan kembali kedudukan kewangan Felda.
“Perkara ini satu langkah baik jika dapat dilaksanakan, ini dapat memulihkan kedudukan kewangan bukan sahaja kepada pihak pengurusan tetapi manfaat positifnya iaitu pengurangan 80 peratus hutang peneroka dapat diterima lebih 1,000 peneroka di Sabah, maka mereka (peneroka) tiada lagi alasan untuk keluar," katanya.
Inisiatif tersebut untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan agensi itu.
Jaminan Kerajaan itu juga mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan agensi itu memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai