Skip to main
Logo Malaysiakini

Caj plaza tol Alam Damai Suke bermula 30 Jun

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengguna Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) akan perlu mula membayar tol di Plaza Tol Alam Damai, bermula Jumaat 12.01 tengah malam.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengguna lebuh raya itu telah menikmati perjalanan tanpa tol selama dua minggu, dari 16 ke 29 Jun bersempena dengan pembukaan Fasa 2 Suke.

Kenyataan itu memaklumkan kutipan tol melibatkan dua jajaran dari persimpangan Sri Petaling ke persimpangan Cheras-Kajang telah dibuka kepada pengguna sejak 16 Jun.

Kadar tol di plaza tol kekal sama seperti yang dikenakan di Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang mengikut kelas kenderaan, iaitu kereta (RM2.30), Lori (RM4.60), treler (RM6.90), teksi (RM1.20) dan bas (RM2.30).

Kutipan tol, sepenuhnya secara elektronik menggunakan kad Touch 'N Go, SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Prolintas memaklumkan pada ketika ini, jajaran utama Suke sejauh 24.4 kilometer telah pun beroperasi, manakala Fasa 3 melibatkan Persimpangan Alam Damai, masih dalam pembinaan dan dijangka akan mula dibuka pada suku ketiga tahun ini.

- Bernama