Menteri akui kekecohan: Kehadiran saya bongkar rasuah di KLIA
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing mengakui dirinya menteri yang dimaksudkan dalam kekecohan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Bagaimanapun, kata Tiong kehadirannya di sana telah mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di lapangan terbang.
"Saya bersyukur, kerana kehadiran saya telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
"Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal.
"Namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubungi saya, maka ini penjelasannya,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Tiong menafikan dakwaan yang menuduhnya melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak imigresen.
"Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian," katanya.
Jelas Tiong, warga China yang dibelanya sebenarnya ditahan tanpa diberi alasan atas sebab-sebab penahanannya.
Ada pas masuk
Katanya, masalah timbul apabila kedua-dua, pihak pegawai imigresen dan pelancong asing tersebut mempunyai masalah komunikasi.
"Dimaklumkan bahawa pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi namun kegagalan komunikasi kedua pihak mengagalkan pihak imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan dari pihaknya," katanya.
Penjelasan Tiong dibuat selepas laporan BebasNews mendakwa seorang menteri yang tidak dinamakan telah menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa untuk mempertahankan seorang warga China yang dilarang memasuki Malaysia.
BebasNews, memetik sumber, melaporkan menteri berkenaan mengetahui kejadian itu dan memasuki balai ketibaan KLIA tanpa terlebih dahulu memohon pas.
"Sedangkan saya memiliki pas yang sah untuk memasuki kawasan tersebut.
“Jadi mengapa perlu memperbesarkan isu ini dengan memberi persepsi yang salah," soal Tiong.
"Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang menteri pelancongan, seni dan budaya (Motac). Apa guna saya sebagai menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing?
"Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan.
"Mungkinkah ada segelintir pegawai takut jika perkara ini terbongkar sehingga memberi kesan kepada kepentingan peribadi mereka," soalnya.
Menurut Tiong, dia telah melobi penterjemah untuk warga asing dari Timur Tengah, China dan India seawal Mac lagi untuk menyelaraskan proses ketibaan dan memastikan kecekapan.
"Timbul persoalan, kenapa mereka menolak penterjemah yang telah disediakan oleh pihak Malaysia Airports Holding Berhad (MAB)?
"Dalam lawatan ke KLIA itu, saya turut membawa pegawai siasatan dari unit integriti di bawah Motac.
"Saya merasakan sudah tiba masanya pasukan SPRM masuk ke KLIA1 secara besar-besaran untuk menyiasat apa yang berlaku di pintu masuk utama negara ini," katanya.
Menteri itu berkata menjadi isu biasa mengenai warga asing yang tiba ke Malaysia dan telefon bimbit mereka dirampas dan tidak diberi alasan untuk penahanan mereka.
"Saya juga mendapat maklumat bahawa adanya pegawai yang mengubah akta yang termaktub dalam perundangan mereka sesuka hati ketika di lapangan.
Pegawai minta wang
"Malah, wanita yang ditahan tersebut juga tidak diberikan makanan yang sewajarnya ketika ditahan dan ini jelas melanggar undang-undang.
"Saya difahamkan wanita tersebut diberi makan hanya sekali sahaja dalam tempoh 15 jam sepanjang ditahan," katanya.
Kata Tiong, dia akan menyerahkan semua maklumat berkaitan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara.
"Saya turut diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.
"Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.
"Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai