Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: MIC hanya kempen untuk calon BN saja - sumber

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MIC memutuskan untuk tidak akan turun berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di enam negeri, kata satu sumber parti itu.

Dia mendakwa keputusan itu dibuat selepas MIC tidak dilayan secara adil dalam isu rundingan kerusi.

Keputusan itu, kata sumber diambil dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (CWC) MIC hari ini yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

"Mesyuarat hari ini mengambil keputusan bahawa pada PRN akan datang, MIC hanya kempen untuk calon BN sahaja. Ini bermakna parti kami tidak akan turun berkempen untuk calon PH.

"Keputusan itu diambil selepas mengambil kira kegagalan pimpinan PH khususnya di peringkat negeri, tidak layan sebarang tuntutan dalam rundingan pengagihan kerusi.

"Kalau pendirian PH dalam proses rundingan kerusi pada PRN ini diambil sebagai status quo, maka, masa depan MIC menjadi pertaruhan.

"Parti tidak boleh berdiam diri. Perlu mengambil keputusan yang dapat kembali menguatkan masa depan parti," kata sumber itu yang menghadiri ke mesyuarat CWC hari ini.

Mesyuarat CWC MIC hari ini dipengerusikan oleh Presidennya SA Vigneswaran (gambar, bawah).

Mesyuarat yang diadakan lebih empat jam bermula 11 pagi itu turut membincangkan pendirian parti sama ada bertanding atau menarik diri bertanding PRN ini.

Bagaimanapun, sumber itu berkata MIC tetap akan menyokong pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerajui Kerajaan Perpaduan.

"Soal sokong perdana menteri tidak dibincangkan. MIC tetap dengan pendirian sebelum ini menghormati titah Yang diPertuan Agong mendukung kerajaan perpaduan," katanya.

Dalam pada itu, satu lagi sumber yang turut menghadiri mesyuarat hari ini berkata MIC kemungkinan tidak akan bertanding pada PRN ini.

Sebelum ini, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan MCA dan MIC akan diberikan kerusi dalam PRN.

"Saya tidak boleh dedah banyak perkara. Kemungkinan MIC tidak akan tanding," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pejabat presiden MIC berkata bahawa Vigneswaran akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata calon-calon MIC dan MCA akan diberi kerusi yang boleh dimenangi mereka.

“Kita hampir di penghujung untuk memuktamadkan pengagihan kerusi dalam kalangan BN dan PH. Saya (juga) ingin maklumkan MCA dan MIC juga ada tempat dan ada kerusi kita berikan kepada mereka untuk bertanding," kata Zahid.