Insiden KLIA: Tindakan lanjut lepas dapat laporan penuh - Saifuddin
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail sedang menunggu laporan penuh berhubung insiden membabitkan rakan kabinetnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum memutuskan langkah seterusnya.
Saifuddin ditanya jika dia akan menghubungi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Tiong Kin Sing atau merujuk perkara itu kepada kabinet.
“Saya sedang menunggu laporan penuh,” katanya kepada Malaysiakini.
Awal hari ini, Tiong mengakui dirinya menteri yang terlibat dalam insiden berkaitan seorang warga China yang ditahan oleh pegawai imigresen.
Menteri itu berkata kehadirannya untuk menyelamatkan wanita itu yang telah mendedahkan rasuah dalam kalangan pegawai di lapangan terbang itu.
Dakwa Tiong, layanan sedemikian terhadap pelancong yang tiba di Malaysia bukanlah kejadian yang pertama.
Jabatan Imigresen pada satu kenyataan berkata ia telah memulakan siasatan berhubung kejadian itu.
Kenyataan menteri pada hari ini tidak mendedahkan identiti wanita yang dibantunya.
Pekerja stesen TV k’jaan China
Bagaimanapun, The Star memetik Tiong berkata wanita berkenaan seorang pekerja stesen TV milik kerajaan China, yang tiba di Malaysia bersama-sama dengan pegawai atasannya.
The Star melaporkan bahawa pegawai kanan itu dibenarkan masuk oleh imigresen dan dia telah meminta bantuan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou selepas rakan sekerjanya tidak dibenarkan masuk.
Tiong dipetik sebagai berkata, dia menerima panggilan daripada kakitangan konsulat berhubung kejadian itu, selepas itu dia menghubungi SPRM dan bersama-sama pihak berkenaan pergi ke KLIA kira-kira jam 3 pagi hari ini.
Ada pas masuk
Malam tadi, portal dalam talian BebasNews memetik sumber yang mendakwa seorang menteri telah melanggar protokol keselamatan dan menyerbu melalui kaunter imigresen untuk "menyelamatkan pelancong".
Ini mencetuskan bantahan termasuk gesaan daripada Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap menteri itu, dengan alasan bahawa tiada individu harus dibenarkan mengambil undang-undang ke tangan mereka sendiri.
Namun, Tiong menjelaskan dia mempunyai pas masuk ke balai ketibaan KLIA.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai