Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan 'merepek' - menteri tegur ketua Pemuda Umno

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan, Tiong King Sing menuntut permohonan maaf daripada Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Salleh.

Ini selepas Akmal menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan terhadap Tiong yang dituduh menyalahgunakan kedudukannya dengan melanggar protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada hari Khamis.

"Jika dia dapat menjadi seorang ahli politik yang baik untuk membantu negara, saya sangat menghargainya.

"Tetapi jika dia tidak tahu cara menjadi seorang ahli politik, tolong jangan cakap merepek," kata Tiong.

Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Salleh.

Jelasnya, antara ciri seorang ahli politik yang baik adalah yang dapat menjaga ekonomi negara.

"Jika anda tidak tahu keseluruhan cerita tentang apa yang sedang berlaku, jangan hanya mengikuti media sosial.

"Saya patut menuntut supaya dia meminta maaf kepada saya, beritahu dia itu," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Akmal menggesa Anwar untuk mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan oleh portal BebasNews yang mendakwa seorang menteri telah memasuki Dewan Ketibaan KLIA untuk "menyelamatkan" seorang warganegara China yang ditahan pihak imigresen.

"Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri," kata Akmal pada hantaran di media sosial.

Laporan tersebut mendakwa menteri tersebut didakwa masuk ke dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

Pun begitu Tiong menafikan laporan itu, berkata dia sudahpun mendapatkan pas masuk yang sah sehingga Februari tahun depan.

Kakitangan stesen TV China

Tiong berkata dia pergi ke KLIA pada kira-kira jam 3 pagi, bersama dengan pegawai SPRM, selepas dimaklumkan tentang penahanan wanita itu melalui panggilan telefon daripada kakitangan Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou.

Wanita itu dilaporkan bekerja untuk stesen TV kerajaan China.

Tiong juga mendakwa ini bukan kali pertama dia campur tangan dalam kejadian sedemikian dan kehadirannya pada Khamis di Terminal 1 KLIA telah mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di lapangan terbang tersebut.

Selanjutnya, Tiong berkata dia bersedia untuk berdepan dengan kabinet susulan dakwaannya mengenai rasuah yang melibatkan pegawai imigresen.

"Ya, tiada masalah. Saya boleh katakan, saya tiada isu. Saya tidak mempunyai sebarang agenda.

"Kerana yang pertama kita mesti memberi keyakinan kepada pelancong dari seluruh dunia untuk datang," katanya kepada Malaysiakini.

Secara berasingan, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Mohd Khalid Harun (gambar, bawah) mengucapkan tahniah kepada Tiong atas usahanya untuk membasmi rasuah di pintu masuk negara.

Khalid juga berkata "salah faham" antara pegawai Imigresen dan pelancong yang tiba - terutamanya dari China - dapat di atasi dengan melibatkan penterjemah atau pegawai yang mahir dalam pelbagai bahasa.

"Sebagai pemain industri pelancongan negara, MATA tidak boleh menerima alasan yang mana komunikasi sebagai masaalah yang timbul diantara pelancong dari China dan pegawai imigresen seperti yang dilaporkan.

MATA berkata tidak wajar komunikasi menjadi batu penghalang bagi pertumbuhan ekonomi negara dalam industri pelancongan.

"Industri Pelancongan negara mempunyai banyak saingan dengan negara- negara jiran yang memudahcara pelancong asing untuk melancong ke negara mereka.

"Jika ini masih tidak diatasi, MATA percaya pelancong akan lari ke negara lain dan ini sudah tentu merugikan pendapatan negara dan pemain industri pelancongan negara yang baru keluar dari kemelut wabak Covid-19," katanya.

[Baca berita asal]