Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak timbul isu Tiong ceroboh, semua menteri ada pas VIP - Loke

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Setiap menteri mempunyai pas VIP untuk memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Ini selepas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing didakwa melanggar protokol keselamatan apabila masuk ke kaunter imigresen dalam usaha untuk "menyelamatkan" seorang warga China yang telah ditahan oleh pegawai imigresen.

Loke menjelaskan tidak ada isu pelanggaran protokol keselamatan kerana menteri dibenarkan memasuki kawasan tersebut walaupun mereka tidak menaiki penerbangan.

"Semasa beliau berada di KLIA itu memang diiringi oleh polis bantuan dan anggota keselamatan MAHB.

"Dari segi isu pas keselamatan, itu tak jadi isu, sebenarnya setiap menteri ada pas VIP untuk masuk ke lapangan terbang walaupun kadangkala kita bukan mengambil flight.

"Semalam pun saya berada di lapangan terbang, bukan saya mengambil flight, tetapi saya lancarkan satu penerbangan, jadi saya masuk ke kawasan larangan seperti balai pelepasan dan sebagainya.

"Bagi saya isu pas tak timbul, dia memang layak untuk masuk ke kawasan larangan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa negeri DAP di ibu pejabat parti Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Pada Khamis, portal BebasNews memetik sumber mendakwa seorang menteri telah melanggar protokol keselamatan dan menceroboh kaunter imigresen untuk "menyelamatkan pelancong".

Semalam, Tiong mengakui dia ialah menteri yang terlibat dalam kekecohan di Terminal 1 KLIA.

Bagaimanapun, menteri itu mendakwa kehadirannya mendedahkan rasuah dalam kalangan pegawai di lapangan terbang itu.

Tiong menjelaskan warga China yang dibelanya itu sebenarnya ditahan tanpa alasan yang diberikan. Katanya, kedua-dua pegawai imigresen terbabit dan pelancong berkenaan mempunyai masalah komunikasi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Loke berkata dia tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku kerana dia tidak hadir bersama Tiong ketika itu dan tiada rakaman CCTV mengenai kejadian berkenaan.

"Tapi mengikut laporan MAHB, beliau diiringi oleh anggota keselamatan di lapangan terbang semasa tempoh beliau berada di lapangan terbang dan apabila beliau keluar, diiringi juga anggota keselamatan.

"Lain-lain tu, dari segi isu bersama Jabatan Imigresen, itu KDN akan buat siasatan lebih terperinci dan dibincangkan di peringkat jemaah menteri," jelasnya.