Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu 3R: K'jaan patut ambil tindakan terhadap pemimpin PAS - Lim

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng membidas PAS, berkata pihak berkuasa patut mengambil tindakan terhadap pemimpin parti itu kerana dikatakan memainkan isu-isu 3R (agama, bangsa dan royalti).

Lim mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin semalam yang meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap DAP kerana didakwa menggunakan isu yang menyentuh 3R.

“Khairil sepatutnya meminta tindakan tegas terhadap presidennya sendiri Abdul Hadi Awang jika beliau ikhlas dan komited untuk menghalang pemimpin politik daripada menggunakan isu 3R dalam kenyataan mereka.

“Untuk menuntut tindakan terhadap pemimpin DAP yang bertindak balas terhadap tindakan ekstremis PAS dan kenyataan berbaur perkauman terhadap bukan Islam atau mempertahankan Pulau Pinang daripada dibuli yang jelas bertentangan dengan perlembagaan.

"Kelakuan pemimpin PAS tiada beza dengan ‘pencuri yang menggelar mangsa sebagai pencuri’.

"Hadi mengeluarkan kenyataan paling banyak menyentuh sensitiviti 3R, dengan sengaja memburukkan, mengaibkan, mendiskriminasi dan membuli orang bukan Islam," kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Dia merujuk kepada kenyataan Hadi baru-baru ini yang memuji orang bukan Islam yang berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati.

Lim berkata Hadi telah menggelar mereka yang tidak berpakaian sopan sebagai "bersikap liberal sehingga tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah."

Ahli parlimen Bagan itu turut menyentuh isu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Nor yang sebelum ini berkata Kedah perlu menuntut semula Pulau Pinang dan mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mencapai matlamat tersebut.

Lim berkata pemimpin DAP tidak boleh berdiam diri dalam mempertahankan hak Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

Dia juga menuduh Sanusi sebagai orang yang "menjadi perkauman" dalam menjawab isu ini apabila menyoal Lim, bot apa dia datang ke Malaysia, walaupun kedua ibu bapanya dilahirkan di Malaysia.

“Saya tidak akan berundur daripada bercakap dan menggerakkan sokongan orang ramai untuk menghalang Sanusi daripada secara unilateral mahu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memadamkan kedaulatan Pulau Pinang untuk mengembalikannya kepada Kedah tanpa mendapat persetujuan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang.

“Pemimpin DAP akan terus bersuara tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap rasuah serta mempertahankan hak rakyat Malaysia daripada dibuli oleh perkauman dan pelampau dalam PAS dan Perikatan Nasional (PN),” kata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Pada satu kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid (gambar, atas) berkata serangan PAS terhadap DAP menunjukkan parti itu ketandusan idea.

"Seperti biasa, PAS terus memainkan naratif sumbang “Semua Salah DAP” mereka lebih-lebih lagi menjelang PRN akan datang.

"Taktik lapuk seperti ini sudah pun boleh dijangka sekali gus mencerminkan realiti bahawa pihak di sebelah sana sudah ketandusan idea," katanya.

Dia berkata perlembagaan DAP menyatakan parti itu memperjuangkan prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Sebaliknya, kata Syerleena kenyataan PAS yang sentiasa menyentuh sensitiviti rakyat yang membimbangkan DAP.

"Sebaliknya, apa yang membimbangkan kita adalah kenyataan-kenyataan yang keluar daripada pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini,” katanya.