Skip to main
Logo Malaysiakini

Hijau bumi Tuhan: Menanam hutan di sekolah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun banyak sekolah yang terlibat dalam kempen penghijauan kerajaan dengan menanam 100 juta pokok, namun jarang sekali didengar sekolah yang bercita-cita membangunkan taman hutannya sendiri.

Apatah lagi cetusan idea yang memberi inspirasi itu datang daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Pun begitu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak, Zulkifli Mahmud, 57 berkata hasrat tersebut disuarakannya demi memulihara alam sekitar.

Menurut Zulkifli Mahmud (gambar, bawah) sekolah yang terletak di Mukim Hulu Cheka, daerah Jerantut di Pahang itu mempunyai tanah seluas 14 ekar.

"InsyaAllah, besar sangatlah harapan kita nak menghijaukan bumi Tuhan ini.

"Mulanya rancang nak tanam sawit tapi kalau tanam sawit dari segi penjagaan takut esok jadi masalah pengurusan tapi lebih baik saya rasa kita tanam pokok-pokok hutan," katanya ketika ditemui wartawan Malaysiakini baru-baru ini.

Menurut Zulkifli, pihak PIBG sangat berminat dengan kempen penanaman pokok itu.

"Kita minta sangatlah bantuan daripada pihak Jabatan Hutan dapat memberi benih-benih pokok yang spesies-spesies pokok yang dah hampir pupus daripada pandangan dan jarang kita temui di kawasan kita ni.

"Umpamanya, pokok cengal, keruing, meranti dan merbau," katanya.

Selain itu, Zulkifli juga bercadang membangunkan tapak semaian hutan di bidang tanah berkenaan.

"Mungkin satu masa yang akan datang akan memberi punca pendapatan kepada sekolah selain mendedahkan para pelajar mengenai kepentingan hutan dan pokok-pokok dalam kehidupan kita," katanya.

Ini, jelasnya dapat menjadi gelanggang amali para pelajar, terutamanya mereka yang mengambil mata pelajaran landskap (kemahiran vokasional) dan ahli kelab alam sekitar sekolah.

Terdahulu, Zulkifli hadir program menanam pohon di Denai Kebangsaan Sungai Damak yang turut melibatkan para pelajar dan guru sekolah, Jabatan Perhutanan, penduduk setempat malah anggota polis juga.

Denai sungai itu dibina oleh Jabatan Perairan Saliran Jerantut.

Dalam perkembangan berkaitan, salah seorang pelajar mata pelajaran lanskap di SMK Damak, Mohd Danial Haikal Zimie, 16, berkata dia bangga dapat ikut serta program menanam pokok itu.

"Sebab dapat membantu bumi, menyejukkan bumi. Sekarang di bumi ini kita banyak hutan-hutan yang telah diterokai oleh manusia, pokok ditebang, pembalakan," katanya.

Kata Mohd Danial (gambar, atas) pemulihan alam sekitar perlu dilakukan untuk kelangsungan umat manusia yang berdepan dengan cabaran perubahan iklim dan cuaca ekstrem.

"Untuk kita jugalah, memberi oksigen kepada kita.

"Janganlah tebang hutan sesuka hati, rosakkan alam sekitar kita, membuah sampah merata-rata," katanya.

Sementara itu, anggota polis Korporal Zulkifli bin Mohamad, 37, pula memberitahu program penanaman pokok sebegini amat bagus untuk masyarakat.

"Penanaman pokok ini bagus untuk sistem pengairan, tidak menghakiskan sungai.

“Dalam program ini, pihak polis dan masyarakat bekerjasama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

"Mereka tahu benda ini tidak habis setakat itu saja. Mereka tahu benda ini akan berterusan sampai bila-bila," katanya.

Penghulu Mukim Hulu Cheka, Khairul Akhma Yusof, 47 pula menjelaskan program penanaman pokok ini merupakan inisiatif kerajaan Pahang yang dilaksanakan oleh unit silvi kultur dan pembangunan hutan, Jabatan Perhutanan.

"Ini bertujuan untuk mengekalkan litupan hijau di kawasan-kawasan yang terpilih, khususnya kawasan-kawasan yang terlibat dengan penerokan haram ataupun lanskap-lanskap yang kekurangan pokok-pokok teduhan," katanya ketika ditemui pada 26 Jun lalu.

Menurut Khairul lagi, program penanaman pokok ini akan dilaksanakan secara berperingkat di setiap kampung di bawah mukim Hulu Cheka.

Jelasnya, program berikutnya akan dibuat di pusat rekreasi Sungai Rengat pada Julai ini, dengan penglibatan masyarakat setempat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Silvikultur Jabatan Perhutanan Zon Pahang Tengah, Wan Zaizielawany Wan Muhamad Zin berkata orang ramai boleh terlibat program penananam 100 juta pokok bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 dengan memuat turun aplikasi pada pautan di sini.

"Setakat ini, Pahang telah menanam lebih tiga juta pokok," jelas Wan Zaizielawany.

Pada 25 Jun lalu, program penanaman pokok serupa juga dibuat di mukim sama, bertempat di pusat eko-pelancongan komuniti di Somset Wildlife, Kampung Som.

Ia sebahagian Karnival Mini Kebudayaan Kampung Som, yang turut menampilkan permainan gasing tradisional, wau Pahang dan sajian masakan warisan.

Somset Wildlife asalnya merupakan kawasan pembalakan di Hutan Simpan Jerantut Tambahan.

Kerajaan negeri dan Tourism Pahang seterusnya membangunkan kawasan itu menjadi pusat eko-pelancongan, lengkap dengan menara tinjau.

Ketua Kampung Som, Rafiz Azuan Ahmad berkata hutan di sekitar Somset merupakan habitat hidupan liar terancam.

"Yang ada di sini memang harimau kumbang, beruang matahari, kijang, binturong.

"Terbaru ditemui anjing hutan, yang kira-kira nak pupus sangat.

"Gajah pun ada, gajah ada dua, tiga ekor yang bermain di sekitar SomSet ini," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Rafiz, kerajaan negeri telah memberikan tanah seluas 20 ekar bagi tujuan pemuliharaan atas kelolaan JPKK Kampung Som.

Program penanaman di SomSet Wildlife turut diserikan dengan kehadiran pengasas Seni Silat Parang Pahang Mohd Ghapar Mohd Nor, 68 atau lebih dikenali sebagai Anjang Ghapar yang dikurniakan gelaran pendekar oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Wasit silat dunia

"Di Malaysia ini, memanglah kita ada pokok tetapi sekarang ini kita telah kekurangan hutan.

"Terutama habitat kepada hidupan liar. Ini menyebabkan binatang liar masuk ke kampung.

"Dia tak cukup tempat untuk berehat, bukan ada tempat. Tapi makanannya dah tak cukup," katanya yang hadir atas undangan penganjur untuk mempersembahkan seni silatnya.

Pendekar Anjang Ghapar (gambar, atas) merupakan seorang pandai besi yang juga wasit kejohanan silat dunia dan sukan SEA turut berpesan kepada generasi muda supaya memelihara alam sekitar.

"Sayangi hutan kita. Jagailah ia sebaik mungkin. Moga kita mendapat udara yang bersih.

"Untuk menjaga daripada bahaya kalau kita tak ada pokok memang kita panas. Sekarang ni perubahan cuaca memang cukup mengerikan," jelasnya lagi.

Sementara itu, program penanaman hutan pada 25 Jun lalu turut melibatkan penyertaan kanak-kanak Sekolah Rendah Kebangsaan Damak dan masyarakat Orang Asli suku Jahut.

Pemimpin belia suku Jahut, Ahmad Faroq Fauzi, 42, (gambar, atas) memberitahu Malaysiakini bahawa hutan memang sinonim dengan masyarakat Orang Asli.

"Pada zaman dahulu masyarakat Orang Asli ini lebih kepada hutan. Dalam hutan tu ada herba-herba khazanah yang perlu kita pelihara.

"Sebab dah makin tahun, khazanah hutan semakin terhakis akibat penerokaan yang berleluasa," katanya yang juga ahli jawatankuasa Umno Bahagian Jerantut.

Kata Faroq, perkara ini menganggu ekosistem alam dan habitat hidupan secara langsung.

"Yang rapat dengan Orang Asli contohnya akar kayu dan herba ubat-ubatan menjadi semakin kurang.

"Penting ada kesedaran untuk kita menjaga bersama-sama. Bukan semata-mata untuk Orang Asli saja.

"Kerana hutan berkait pula dengan sungai yang menjadi punca bekalan air bersih untuk pertanian dan minuman kegunaan masyarakat tempatan," katanya lagi.

Kritikan dan penambahbaikan

Pahang sering kali dikritik berhubung isu penebangan hutan, pembalakan, perlombongan dan projek yang memberi impak terhadap alam sekitar.

Media alam sekitar Macaranga, menganggarkan antara 2007 dan 2019, Pahang membuka 75,748 hektar hutan untuk ladang, kedua selepas Kelantan.

Pengkritik juga berpendapat menyelamatkan hutan sedia ada lebih afdal berbanding menanam pohon baru.

Rekod menunjukkan berlakunya pembersihan seluas 2723.09 hektar tanah di Hutan Simpan Tekam dan Hutan Simpan Tekai Tembeling di daerah Jerantut.

Bagaimanapun, pada Ogos 2021, kerajaan negeri mengumumkan Hutan Simpan Tekam akan dijadikan santuari gajah atau penempatan baru buat hidupan itu bagi menangani masalah pencerobohan dan konflik haiwan dengan penduduk.

Dalam perkembangan berkaitan, pentadbiran Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail sejak 2018 telah membatalkan beberapa projek-projek yang didakwa menjejaskan alam sekitar.

Antaranya, moratorium pembinaan empangan hidroelektrik di Hutan Simpan Tekai Tembeling, pembatalan pembalakan di Hutan Jerantut Tambahan dan pembatalan cadangan perlombongan di kawasan Hutan Som serta perlombongan di rizab biosfera Tasik Chini.

Pahang juga telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) bagi Majlis Biodiversiti (26 Ogos 2021) dan RUU Perbadanan Taman Negeri Pahang (25 Ogos 2021).

Kedua-dua enakmen ini telah berkuatkuasa pada 1 Jan tahun lalu.

Majlis Biodiversiti Pahang yang diterajui menteri besar turut dianggotai pakar kualiti air Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Maketab Mohamed yang juga aktivis alam sekitar.

Maketab antaranya dikenali berhubung bantahan penternakan ikan sturgeon berhampiran Taman Negara di Kuala Tahan sekitar 2014 serta penyelidikan terhadap perlombongan bauksit di Kuantan pada 2015 yang menjejaskan kualiti air minuman dan tanaman pertanian.

Wan Rosdy berkata Pahang komited untuk mengekalkan status Rizab Biosfera Tasik Chini oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco.

Katanya, keputusan mesyuarat Majlis Penyelarasan Antarabangsa 'Man and the Biosphere' (ICC MAB35) di Paris, Perancis yang berlangsung pada 14 Jun lalu, begitu bermakna kepada kerajaan negeri.

ICC MAB35 membuat keputusan itu berdasarkan kepada syor Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR) dengan mengambil kira usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Pahang bagi menambah baik pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

"Ini termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan," kata Wan Rosdy.

Baru-baru ini, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah (gambar, atas) mengumumkan Pahang mewartakan sebuah taman negeri baru seluas 1,340 kilometer persegi di kawasan hutan simpan Gunung Aais dan Tekai Tembeling serta tambahan kawasan seluas 400 kilometer persegi untuk meningkatkan usaha pemuliharaan hidupan liar.

"Taman baru ini akan menyediakan habitat selamat untuk menyokong pemulihan semula jadi populasi harimau Malaya dan spesies hidupan liar lain termasuk gajah, tapir dan gaur," titah Tengku Hassanal.

Pusat pelepasan bertahap atau ‘soft release centre’, yang pertama seumpamanya di Malaysia, adalah sebahagian daripada pelan strategik untuk taman ini, tegas baginda.


BACA BERKAITAN:

Putrajaya digesa sekat 'ladang hutan' di rizab Chini

Syarikat balak tarik balik prosiding menghina terhadap penduduk kampung, peguam

Hutan Som: Habitat gajah, tapir atau tapak lombong kerabat Pahang?

Hutan bersaiz dua kali ganda Putrajaya ranap?