Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya bukan boneka sesiapa' - Anwar balas dakwaan Dr M k'jaan akur pada DAP

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membalas semula kenyataan yang membayangkan dia tunduk kepada mana-mana pihak.

Ia setelah Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan pimpinan Anwar terikat dengan DAP kerana parti itu memiliki anggota parlimen yang ramai.

"Ada dibahaskan (kata) kita tunduk kerana dokongan parti berasaskan Cina, DAP yang menguasai (kerajaan).

"Perdana menteri adalah saya, saya bukan boneka sesiapa.

"Alhamdulillah umur (saya) akan cecah 76 tahun. Saya tak boleh dibeli dengan wang ringgit, kalau boleh dibeli saya dah melencong lama dah," katanya dalam forum di Putrajaya, hari ini.

Dalam satu hantaran di media sosial semalam, Mahathir mendakwa walaupun DAP hanya ada empat menteri, Anwar bergantung kepada sokongan 40 ahli parlimen daripada parti itu.

"Jika DAP tarik diri kerajaan Anwar akan jatuh.

"Sebab itu Anwar terpaksa turut manifesto DAP, khusus menjadi Tanah Melayu negara pelbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular – negara yang tidak ada agama rasmi," dakwanya.

Anwar bagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut dan berkata DAP tidak pernah berbuat demikian.

"Mereka dalam jemaah menteri dan sudah tujuh bulan saya (jadi perdana menteri).

"Belum sekali pun mereka pertikai program untuk orang Melayu, orang miskin, orang Islam...Belum sekali dalam tujuh bulan (ini)," katanya lagi.

Anwar turut menyerang Mahathir dengan berkata jika seseorang itu sudah mentadbir selama berdekad dan gagal, maka ia adalah kesalahan dirinya sendiri.

"Mengapa ekonomi Melayu tak (belum) diangkat? Mengapa semua saya mesti selesaikan dalam masa tujuh bulan, dengan hutang (negara) RM1.5 trilion," katanya.

Katanya lagi, berbeza dengan hutang negara yang terkumpul ketika pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein kerana membasmi kemiskinan dan menubuhkan Felda, hutang negara pada era kemudiannya digunakan untuk membiayai projek mega dan penyelewengan.

Sementara itu, Anwar turut menyangkal dakwaan bahawa orang Melayu dan agama Islam dipinggirkan di bawah pentadbirannya, dengan membangkitkan tambahan peruntukan terhadap Kelantan dan jabatan agama Islam sebagai contoh.