Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelaksanaan gaji minimum boleh beri kesan pada inflasi - Rafizi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan tidak menolak kemungkinan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di semua sektor termasuk majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bermula 1 Julai lepas akan memberi kesan kepada kenaikan kadar inflasi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Ekonomi Bersama Warga Kementerian Ekonomi di Putrajaya hari ini, Rafizi berkata kerajaan bagaimanapun telah melakukan penilaian berhubung perkara itu sebelum memutuskan untuk melaksanakannya.

“Pelaksanaan gaji minimum akan ada risiko (kenaikan inflasi) tetapi kita (kerajaan) sentiasa memastikan kenaikan gaji boleh mengimbangi antara gaji dan kos sara hidup. Itu fokus kita.

“Keadaan ekonomi tentunya sentiasa ada inflasi, malah, anda mahu mengekalkan inflasi pada paras baik tertentu antara dua peratus,” katanya.

Perintah gaji minimum untuk seluruh negara diwartakan pada 27 April 2022, untuk pelaksanaan mulai 1 Mei 2022, manakala penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, berkuat kuasa pada 1 Julai tahun ini.

Rafizi berkata kadar inflasi negara pada Mei 2023 terus reda kepada 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada April 2023, mencatat penurunan sembilan bulan berturut-turut.

“Cuma yang penting inflasi dapat ditampung oleh kenaikan gaji yang setimpal dengan nilai kerja dan kenaikan harga barang,” katanya.

Rafizi berkata pelaksanaan gaji minimum itu dapat memastikan pendapatan rakyat naik secara berkala setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.

-Bernama