Imigresen takkan lindungi pegawai rasuah di KLIA, atau di mana pun
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai serta anggotanya yang disyaki rasuah dan akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau merujuk kepada beberapa laporan berita tempatan yang diterbitkan hari ini yang mengaitkan dakwaan tersebut terhadap segelintir kakitangan jabatan itu.
"JIM menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan dakwaan berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya, jabatan ini sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan dengan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.
Ruslin berkata Jabatan Imigresen juga komited dalam menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan juga pelawat asing yang memasuki Malaysia.
Hari ini, media tempatan melaporkan terdapat ejen yang meminta sehingga RM18,000 untuk menyelesaikan kemasukan pelancong asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan ketika tiba di KLIA.
Penemuan itu dikesan SPRM dalam siasatan awal berhubung insiden di balai ketibaan KLIA membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan beberapa pegawai Imigresen, minggu lalu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai