Skip to main
Logo Malaysiakini

SPR anggar PRN enam negeri libatkan belanja RM420 juta

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan melibatkan perbelanjaan RM420 juta.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata 153,760 petugas akan dilantik bagi membantu melancarkan pengendalian proses PRN berkenaan, dan 173 pusat penamaan calon serta 186 pusat penjumlahan rasmi undi akan dibuka.

Dia berkata 3,190 pusat mengundi biasa yang mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran, dan 260 pusat mengundi awal mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan pada PRN nanti.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah 3,450 dengan 17,425 tempat mengundi atau saluran," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN.

Terdahulu Abdul Ghani mengumumkan keputusan SPR yang menetapkan hari pengundian bagi pelaksanaan PRN di enam negeri berkenaan adalah pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.

Sementara itu dia berkata kira-kira 9.77 juta pemilih layak mengundi pada PRN berkenaan dengan kira-kira 9.67 juta adalah pengundi biasa.

Katanya Selangor mempunyai jumlah pengundi biasa paling ramai dengan 3.7 juta orang diikuti Kedah dengan 1.57 juta dan Kelantan 1.4 juta, manakala pengundi lain melibatkan 49,660 tentera dan pasangan; 47,728 adalah polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 pengundi tidak hadir luar negara.

Merujuk kepada statistik umur pula, Abdul Ghani berkata 661,905 orang merupakan kategori pengundi berumur 18-20 tahun, manakala 28,991 orang merupakan pengundi berumur 90 tahun dan ke atas.

Dia berkata pengundi boleh membuat semakan pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan masing-masing bermula 17 Julai ini.

Semakan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan http://mysprsemak.spr.gov.my atau hotline SPR di talian 03-88927018/7218/7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

-Bernama