Skip to main
Logo Malaysiakini

Insiden KLIA: K'jaan akan buat beberapa perubahan di pintu masuk

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Susulan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini yang menyaksikan seorang menteri kabinet mendakwa pegawai imigresen terbabit rasuah, kabinet awal hari ini bersetuju untuk memperkenalkan beberapa perubahan di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan keputusan sama ada pengembara yang masuk perlu dinafikan kemasukan kini akan dibuat oleh pegawai kanan Jabatan Imigresen Gred 41 dan ke atas.

Sebelum ini, kuasa untuk membuat keputusan sedemikian dipegang oleh pegawai Gred 29 yang ditempatkan di lapangan terbang dan pintu masuk lain.

Saifuddin berkata kabinet turut bersetuju dengan cadangan kementerian untuk menyediakan meja bantuan di pintu masuk.

Pegawai yang mempunyai kemahiran berbilang bahasa, kata Saifuddin akan ditempatkan di sana untuk membantu pelancong yang berdepan kesukaran berkomunikasi dengan pihak berkuasa.

“Tadi saya bentangkan beberapa perkara bersifat maju ke hadapan.

“Pertama akan adakan helpdesk menempatkan pegawai yang boleh berkomunikasi bahasa asing terutama Mandarin, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Tamil.

"Ini adalah untuk berikan penambahbaikan kepada travelers bila sampai di kaunter dan ada kesulitan memahami,” katanya.

Saifuddin berkata menjadi prosedur operasi standard oleh pihak imigresen di seluruh dunia untuk bertanya pelancong yang datang sama ada mereka mempunyai tiket pergi balik, alamat untuk tinggal di negara ini atau membawa wang tunai yang mencukupi.

Ini, jelas Saifuddin supaya pihak berkuasa dapat menghalang pengembara dengan pas lawatan sosial menyalahgunakan masa tinggal mereka untuk bekerja di negara ini.

Bagaimanapun, katanya kerajaan telah terlepas pandang keperluan untuk memaklumkan dengan betul kepada pelancong berhubung syarat-syarat ketibaan di Malaysia.

"Kita sedia kerjasama dengan MAHB untuk naikkan banyak papan tanda. Supaya tahu apa yang akan ditanya seperti mana amalan biasa JIM,” jelasnya lagi.

Sementara itu, menteri dalam negeri juga berkata mesyuarat kabinet mengambil maklum mengenai kewujudan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian soal tatakelola atau soal berkaitan dengan insiden tersebut.

"Soal dakwaan ada beberapa amalan tidak baik berlaku dan sebagainya.

"Itu bawa maksud Kementerian Dalam Negeri sedia beri kerjasama sepenuhnya dengan SPRM untuk meneruskan siasatan. SPRM sudah pun memulakannya.

"Pagi tadi saya pun bercakap dengan (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki dan nyatakan KDN sedia beri kerjasama penuh," katanya lagi.

[Baca berita asal]