Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak tetap penyokong kuat saya, tegas Annuar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun berbeza wadah perjuangan parti dengan anaknya, Annuar Musa menegaskan betapa anak lelakinya Afiq Annuar tetap merupakan penyokong kuatnya.

Malah kata bekas pemimpin Umno itu, tidak akan berlaku pertembungan antara dia dan Afiq Amani yang juga ketua pemuda Umno Ketereh pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

“Saya akan tengok perkembangannya, tak payah kalau-kalau, itu (pertembungan) takkan berlaku.

“Anak saya tetap merupakan penyokong kuat saya,” tegas Annuar ketika ditemui media selepas ceramah mega ‘Ppkat Pertahan Kelantan’ peringkat parlimen Bachok, malam tadi.

Bekas menteri Umno yang kini menjadi ahli PAS itu berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan dia dan Afiq Amani dicalonkan parti masing-masing di kerusi sama pada PRN 12 Ogos nanti.

Terdahulu media melaporkan Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman mengesahkan nama Afiq Amani diangkat kepimpinan Umno bahagian Ketereh untuk disenarai sebagai calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ketereh.

Menurutnya jika Afiq Amani tersenarai sebagai calon di mana-mana kerusi DUN, maka terpulang kepada Annuar sama ada mahu 'menyembelih' anaknya sendiri.

Selain itu Mursyidul Am PAS Hashim Jasin pula dilaporkan berkata nama Annuar adalah antara yang mungkin diletakkan dalam senarai calon yang akan dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama PAS untuk tapisan.

Sementara itu ditanya kesediaannya jika angkat sebagai calon Annuar berkata dia sebolehnya mahu memberi laluan kepada orang lama dalam PAS terlebih dahulu.

“Saya fikir begini, saya ini ahli yang baru kalau boleh bagi laluan kepada ahli-ahli lama dulu. Saya tak jadi calon pun tak ada masalah, saya serah kepada pucuk pimpinan PAS.

“Dalam PAS berbeza dengan Umno, dia ada kaedah, ada tapisan Majlis Syura, kemudian turun kepada perhubungan negeri.

“Saya dah banyak kali jadi calon, kalau ada orang lain jadi calon okaylah, saya tak jadi calon tak apa. Kalau dipilih juga kalau itu satu amanah parti saya pertimbanglah,” katanya.