Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: MCA, MIC tak sertai PRN tapi tetap sokong kerajaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang tidak akan menjejaskan kesetiaan mereka kepada kerajaan perpaduan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata dia dimaklumkan oleh presiden kedua-dua parti mengenai sokongan tidak berbelah bahagi mereka untuk mempertahankan pentadbirannya.

"Presiden MCA dan MIC ada hubungi saya dan nyatakan PRN ini mereka tak sertai tapi akan berikan sokongan.

"Saya fikir itu tentu dalam ruang kuasa BN. Tapi saya ucap terima kasih kepada kesetiaan mereka membantu dan masih mempertahankan keduduakan kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, kedua-dua parti komponen BN itu berkata mereka bersedia untuk membantu calon daripada gabungan mereka.

MCA, dalam satu kenyataan, berkata parti itu akan memberi lebih penekanan kepada persiapannya menghadapi pilihan raya umum ke-16.

Sementara itu, Setiausaha Agung MIC RT Raja, dalam satu kenyataan, turut bersetuju dengan pendirian MCA, berkata jawatankuasa kerja pusat parti itu membuat keputusan sebulat suara untuk tidak menyertai PRN.

Enam negeri mengadakan PRN pada 12 Ogos ialah Kedah, Terenggann, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.